بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
Konsep halal dalam Islam sangat luas dan menyeluruh. Dalam bermua'malat, konsep halal ini meliputi bagaimana sesuatu barang perniagaan itu dikeluarkan untuk diguna dan juga bagaimana ia diguna mengikut kehendak Allah Ta'ala, termasuk proses pindah milik barangan itu yang dilakukan berlandaskan syariat. Inilah yang kita katakan mua'malat rububiyah, iaitu mua'malat yang berlaku mengikut apa yang Allah Ta'ala perintahkan kepada kita.
Allah Ta'ala menetapkan supaya semua urusan mua'malat mestilah menggunakan sesuatu yang halal dan baik. Pengalamannya juga tidak terpengaruh dengan godaan nafsu. Perumpamaannya sangat mudah sekali. Kalau kita hendak makan misalnya, kita hanya akan makan makanan yang baik ,bersih dan berkualiti sahaja. Kita tidak akan memilih makanan yang kotor ataupun yang sudah rosak. Hanya perkara-perkara yang baik dan halal asasnya sahaja akan melahirkan manusia yang bersyukur.
Allah Ta'ala berfirman:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُواْ مِمَّا فِي الأَرْضِ حَلاَلاً طَيِّباً وَلاَ تَتَّبِعُواْ خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ
Wahai manusia,makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan; sesungguhnya ia (syaitan) adalah musuh kamu yang nyata." (Al-Baqarah:168)
Allah Ta'ala berfirman lagi:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ كُلُواْ مِن طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ وَاشْكُرُواْ لِلّهِ إِن كُنتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ
Hai orang-orang yang beriman, makanlah di antara rezki yang baik-baik yang Kami berikan kepadamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika benar-benar kepada-Nya kamu menyembah."
(Al-Baqarah:172)
Allah Ta'ala secara tegas memberikan panduan, bahawa hanya makanan yang halal sahaja dibenarkan untuk dimakan atau dijadikan sumber rezeki. Rezeki yang halal ini meliputi semua aktiviti ekonomi yang halal. Jika aktiviti yang berlaku tidak halal, dengan sendiri pendapatan dan barangan yang dihasilkan juga tidak halal.
Allah Ta'ala lebih mengetahui bahawa jiwa manusia hanya akan bersih apabila ia diisi dengan sesuatu yang halal dan bersih. Walaupun apa yang kita makan dan minum ini adalah untuk keperluan jasmani, tetapi rohani yang baik hanya lahir daripada jasmani yang baik dan bersih dari benda yang haram. Bagi memastikan setiap jiwa atau nroh manusia turut sihat bersama amal ibadatnya, makanan jasmani juga mesti dibersihkan melalui sistem mua'malat yang betul dengan mengikut syariat, sudah pasti akan jadi halal. Sumber yang haram sangat memberi kesan kepada kebersihan hati manusia.
Nabi s.a.w bersabda:
Dalam diri kamu ada seketul daging yang sekiranya baik daging ini, maka baiklah seluruhnya, jika rosak daging ini maka rosaklah seluruhnya. Ingatlah daging itu ialad Al-Qalb (hati) Wallahua'lam
No comments:
Post a Comment