بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
Dalam agama Islam, roh peribadatan bukan sahaja terletak di dalam pembangunan rohani tetapi ia juga terletak dalam kehidupan sehari-harian yang berdasarkan kepada keadilan dan akhlaq yang mulia. Oleh yang demikian, usaha duniawi (pencarian sara hidup) telah digesa oleh Al-Quran dan Sunnah Nabi s.a.w. Allah Ta'ala berfirman:
فَإِذَا قُضِيَتِ الصَّلَاةُ فَانتَشِرُوا فِي الْأَرْضِ وَابْتَغُوا مِن فَضْلِ اللَّهِ وَاذْكُرُوا اللَّهَ كَثِيراً لَّعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Apabila telah ditunaikan solah, maka bertebaranlah kamu di muka bumi; dan carilah kurniaan Allah dan ingatlah Allah banyak-banyak moga-moga kamu berjaya. (Jumaah; 10)
Seorang mukmin itu janganlah terlalu bimbang mengenai rezekinya. Sesungguhnya rezeki bagi setiap insan itu telah ditentukan oleh Allah Ta'ala, 50,000 tahun sebelum kejadian alam ini. Tanggungjawap manusia hanyalah berusaha dan terus berusaha dalm masa yang sama yakin yang memberi rezeki adalah Allah Ta'ala. Apa yang telah ditentukan oleh Allah Ta'ala maka itulah rezekinya. Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud :
"Sesungguhnya rezeki seorang hamba itu akan mengejarnya sebagaimana maut mengejarnya"
Oleh yang demikian agama Islam telah membenarkan semua aktiviti-aktiviti ekonomi yang halal, iaitu selari dengan ajaran agama Islam. Perdagangan, usaha perniagaan, koperasi dan lain-lain lagi adalah halal dari segi operasinya. Walau bagaimanapun agama Islam telah menggariskan undang-undang dan peraturan yang berkaitan dengan segala usaha perniagaan. Undang-undang dan peraturan ini digariskan dengan tujuan untuk memastikan bahawa perniagaan-perniagaan tersebut dijalankan dengan jujur, amanah dan bermanfaat.
Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Sesungguhnya ahli perniagaan yang jujur dan amanah dalam perkataan dan amalannya akan dibangkitkan di kalangan para Nabi, solihin dan syuhada" (Tirmizi)
Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Orang yang paling menderita di hari qiyamat adalah seorang lelaki yang mempunyai pendapatan yang bersumberkan haram"
Lagi sabda Nabi s.a.w yang bermaksud:
"Akan datang satu zaman kepada manusia yang mana seseorang itu tidak lagi peduli adakah pendapatannya halal ataupun haram"
Prinsip-prinsip Asas Perniagaan Islam:
Prinsip-prinsip asas perniagaan dalam Islam adalah sifat berterus terang, boleh dipercayai (amanah), dan kejujuran. Banyak ketidak sempurnaan dalam pasaran pada hari boleh di atasi sekiranya prinsip-prinsip asas dapat di wujudkan dan di laksanakan oleh golongan ahli perniagaan dalam setiap bangsa yang bertamadun di seluruh dunia. Prinsip-prinsip ini banyak di dapati dalam ayat-ayat Al-Quran dan Sunnah Nabi s.a.w.
1. Tanggungjawap Mencari Rezeki
Pendapatan Yang halal:
Telah di riwayatkan dalam hadis bahawa mencari rezeki yang halal adalah menjadi tanggungjawap bagi ummat Islam. Tanggungjawap ini adalah pada peringkat kedua dari rukun-rukun Islam iaitu mendirikan solah, membayar zakat dan seterusnya. Dalam perkataan lain, walaupun tanggungjawap kaum muslimin adalah untuk memperolehi pendapatan yang halal, tanggungjawap ini adalah tidak sama kepentingannya dengan 5 rukun Islam.
Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud"
"Mencari rezeki yang halal adalah wajip selepas menunaikan yang fardhu (solah, puasa dan lain-lainnya)" (Tabrani dan Baihaqi)
Tanggungjawap ini adalah terletak di atas bahu orang-orang yang memerlukan harta untuk memenuhi keperluan harian mereka sama ada keperluan-keperluan ini adalah untuk memenuhi kehendaki diri seseorang itu ataupun orang-orang yang di bawah tanggungjawapnya. Walaubagaimanapun ia tidaklah menjadi tanggungjawap bagi mereka yang keperluannya untuk mencari pendapatan tambahan. Sebagai contoh, pemilik-pemilik tanah ataupun pihak-pihak lain yang mempunyai pelbagai jenis sumber pendapatan. Alasan yang sedemikian adalah kerana Allah Ta'ala telah menciptakan kekayaan untuk mereka yang memerlukannya, oleh itu memudahkan seseorang memperolehi masa untuk beribadat kepada Allah Ta'ala. Ini adalah disebabkan tanpa makanan dan minuman yang sempurna dan teratur, seseorang itu tidak akan mampu melaksanakan ibadat. Oleh yang demikian, boleh dikatakan bahawa perolehan atau pencarian harta bukanlah sebagai satu matlamat yang tersembunyi padanya tetapi ianya cuma sebagai satu cara untuk memperolehi kekuatan terhadap ibadat kepada Allah Azzawajalla.
Dari penjelasan yang lalu, adalah difahami sekiranya seseorang itu mempunyai punca pendapatan yang diperlukan bagi menjalani kehidupan yang baik dan murni maka adalah tidak digalakkan beliau mencari harta tambahan ataupun menambahkan pemiliknya semata-mata atas dasar tamak . Dalam kes-kes tertentu adalah tidak diwajibkan keatas orang-orang yang mempunyai sumber-sumber yang mencukupi untuk menampung kehidupannya, berusaha untuk menambahkan kekayaannya. Tamak adalah satu sifat yang akan mewujudkan kecuaian dan mendorongnya melakukan perbuatan-perbuatan dosa. Ambil perhatian mengenai perkara ini. Apabila pendapatan halal wujud, seorang muslim tidak boleh memilih melalui pendapatan yang haram.
Pendapatan yang bersumberkan haram pasti dan pasti akan hilang dari rahmat keberkatan Allah Ta'ala. Sesiapa yang memperolehi harta dari sumber yang haram, kekayaan itu akan selama-lamanya dilaknati dan dia akan hidup dalam kehinaan sama ada dalam kehidupan agama mahupun dalam kehidupan dunianya.
Pada zaman kita sekarang terdapat ramai orang mendakwa adalah mustahil dalam keadaan sekarang ini untuk mencari rezeki yang halal. Manusia seumpama ini telah kecewa dan menolak segala harapan untuk memperolehi harta yang halal. Ini adalah tidak benar sama sekali dan merupakan satu permainan syaitan. Apa yang perlu di ingati bahawa sesiapa yang mahu mengikuti jalan syariat, ia akan di kurniakan oleh Allah Ta'ala dengan pertolongan-Nya dari sumber-sumber yang tidak disangka-sangka dan tidak di fikirkan.
Apabila tujuan seseorang itu hendak memperolehi makanan yang halal dan menjauhkan yang haram, pasti Allah Ta'ala akan mewujudkan dan memudahkan baginya untuk mendapat dari sumber yang halal. Ini terdapat banyak tempat dalam Al-Quran dan sebagaimana yang diriwayatkan dalam hadis-hadis Nabi s.a.w.
Kehidupan Diberkati Dengan Pendapatan Yang Bersumberkan Halal:
Telah menjadi kenyataan bahawa di dalam zaman ini, hamba-hamba Allah Ta'ala yang berniat untuk menjauhkan diri dari sumber-sumber yang haram ataupun meragukan tentang halal dan haramnya, mereka telah dikurniakan oleh Allah Ta'ala dengan pendapatan dan kekayaan yang halal dan bersih. Golongan tersebut lebih tenteram, bahagia dan mulia kehidupannya berbanding dengan mereka yang memperolehi kekayaan dari sumber-sumber yang haram. Seseorang yang telah menyaksikan bagaimanakah kehidupan hamba-hamba Allah Ta'ala yang seumpama itu dan mereka tidak menghiraukan kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh sesetengah orang Islam bahawa susah dan mustahil untuk mendapat dari sumber yang halal pada zaman yang sedang menuju kearah kemajuan dunia. Manusia sudah tidak hiraukan lagi halal atau haram, yang penting mereka boleh melahap kesemua dan puas dengan apa yang diingini walaupun benda itu semua dari sumber yang haram.
Ramai orang hanya mengambil perhatian yang sedikit terhadap sumber pencarian mereka. Selalunya mereka memperolehi pendapatan dari sumber yang haram dan mereka tidak langsung peduli. Mereka hanya berkata ini rezeki aku dan aku punya dosa... Jika beginilah sikap orang-orang Islam di zaman sekarang bagaimanakah kita dapat memperolehi bantuan dari Allah Ta'ala. Ada juga di kalangan kita yang merampas hak orang lain yang mana sudah menjadi haram hasilnya. Seseorang tidak perlu takut tentang rezeki masing-masing kerana dalam khazanah Allah Ta'ala tidak akan berlaku kekurangan seperti firman-Nya:
لَهُ مَقَالِيدُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ يَبْسُطُ الرِّزْقَ لِمَن يَشَاءُ وَيَقْدِرُ إِنَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ
Kepunyaan-Nyalah perbendaharaan(kunci) langit dan bumi; Dia meluaskan rezeki bagi siapa yang dikehendaki-Nya dan menyempitkan(nya). Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui segala sesuatu (As-Shura: 12)
Dari ayat di atas kita dapat tahu yang kunci khazanah hanya di tangan Allah Ta'ala sahaja. Manusia cuma berusaha dan yang memberi datangnya dari Yang Maha Pemberi. Apa saja yang tertulis sebagai bahagian rezekinya, maka sebanayak itulah yang akan di terimanya tanpa berkurang sedikit pun. Oleh yang demikian, adakah harus seseorang itu mempunyai niat dan usaha yang kotor untuk memeperolehi harta atau pendapatan yang lebih dari sumber yang haram dan menempah jalan ke neraka? Adakah tidak ini merupakan satu kemuncak kebodohan?
Maksud Penciptaan Manusia:
Disebabkan pada hari ini, orang-orang Islam kurang mengambil berat untuk memastikan pendapatan mereka adalah halal, adalah perlu untuk memalingkan perhatian mereka ke arah ini, lagi dan lagi. Apa yang perlu sentiasa di ingati bahawa maksud penciptaan manusia dan jin adalah semata-mata untuk menyembah Allah Ta'ala, seperti firman-Nya:
وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ
Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka beribadat kepada-Ku.(Az-Zaariyat:56)
Setiap masa dan keadaan serta apa saja yang di lakukan, perkara ini mestilah sentiasa di ingati. Dalam masa yang sama, apa yang perlu di ingati bahawa makan dan minum adalah semata-mata bertujuan untuk mendatangkan kekuatan dan tenaga dalam tubuh badan di mana dengan kekuatan dan tenaga ini seseorang itu mampu untuk memuji nama Allah Ta'ala.
Kehidupan tidaklah bermaksud untuk seseorang itu harus makan dan minum, di dalam keadaan di mana ia melupakan kehadiran Allah Ta'ala dan mengingkari-Nya. Golongan yang tidak beragama ataupun mempunyai pegangan agama yan lemah berpendapat bahawa kehidupannya hanyalah untuk makan dan minum, memakai pakaiana dan memenuhi keinginan dan kehendak nafsu. Kelakuan sebegini adalah bertentangan sama sekali dengan agama. Moga-moga Allah Ta'ala menghapuskan kejahilan ini yang telah menjadi satu malapetaka (musibah) yang besar di kalangan masyarakat Islam.Pendapatan Yang Terbaik Adalah Dari Hasil Daya Usaha Tulang Empat Kerat Sendiri:
Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud: "Tiada seorang pun yang makan dari pendapatan yang lebih baik dari pendapatan yang di perolehinya hasil dari usaha kedua tangannya dan ketahuilah sesungguhnya nabi Allah Daud a.s makan dari hasil pendapatan kedua tangannya."
Nabi s.a.w bersabda lagi yang bermaksud: "Mata pencarian yang paling afdhal (bagus) adalah berniaga dengan penuh kebajikan dan dari hasil daya usaha tangan" (Al-Bazar & Ahmad)
Lagi sabda Nabi s.a.w yang bermaksud: "Tiada makanan yang lebih baik daripada usaha tangan sendiri" (Bukhari)
Hadis-hadis ini menunjukkan bahawa makanan yang terbaik adalah terhasil dari usaha dua tangan sendiri, iaitu dalam kes-kes yang tertentu di mana seseorang itu menjalankan sesuatu jenis perniagaan ataupun perdagangan. Seseorang itu tidaklah boleh menjadi beban kepada orang lain dengan meminta sedekah dan seseorang itu tidak boleh menganggap bahawa adalah kurang mulia untuk melakukan kelas bawahan.
Nabi-nabi Allah Ta'ala telah turut melakukan pekerjaan yang berat. Oleh itu tiada seorang pun yang dapat melebihi atau menyamai kemulian mereka. Dalam masa yang sama juga, mereka telah bekerja kuat untuk meneruskan kehidupan. Menurut satu hadis, diriwayatkan bahawa tiada seorang nabi pun yang tidak mengembala kambing. Apa yang perlu di fahami ialah orang-orang Islam itu hendaklah jauhkan diri dari sifat jahil dan bodoh sombong.
Doa Yang Tertolak:
Di dalam hadis, Nabi s.a.w telah menjelaskan bagaimana seorang lelaki itu telah melakukan satu perjalanan yang jauh (kemungkinan melakukan haji atau menuntut ilmu) dengan rambut yang kusut masai dan badan yang berdebu kerana perjalanannya. Dia mengangkat tangan ke langit sambil berdoa: Wahai Pemberi rezeki ku! Wahai pemberi rezeki ku! Lelaki itu berterusan berdoa meminta belas kasihan Allah Ta'ala dan mengurniakannya apa yang di hajatinya. Walaubagaimanapun, makanannya adalah dari sumber yang haram, pakaiannya dari sumber yang haram dan darah dagingnya juga dari sumber makanan yang haram. Oleh itu bagaimanakah doanya di terima?
Apabila seseorang itu semasa kecilnya telah di berikan makanan yang haram oleh ibubapanya tetapi apabila usianya sudah dewasa dia berusaha untuk memeperolehi makanan yanag halal, maka ia tidak termasuk dalam peraturan ini. Dalam kes ini dosa memberikan makanan yang haram terletak di atas bahu kedua ibubapanya. Bagaimanakah doa orang-orang ini (ibu bapa) akan di terima?
Dalam hadis ini doa lelaki tersebut tertolak kerana punca pendapatannya haram walaupun ia telah mengalami kesusahan dan telah berdoa dalam keadaan yang begitu dhaif dan melarat. Doa dia tidak akan di terima dan jika pada waktu lain doanya di terima, ini bukanlah di sebabkan doa yang dilakukannya itu tetapi di sebabkan taqdir yang di tentukan untuknya sebagaimana halnya dengan orang-orang kafir.
Keberkatan Dalam Makanan dan Minuman Yang Halal:
Sehubungan dengan itu, apa yang dapat di pelajari bahawa banyak keberkatan dalam makanan yang halal kerana ia banyak memepengaruhi kehidupan dan segala aktivitinya. Melalui makanan yang halal seseorang itu memperolehi kekuatan untuk melakuakn amalan-amalan soleh dan anggota akan mentaati akal. Imam Ghazali r.alaih menceritakan mengenai seorang wali, Suhail r.a pernah berkata: "Apabila seseorang itu makan makanan yang haram, anggota badannya enggan untuk mengikuti fikirannya." Dalam perkataan lain, otak akan memerintahkan tubuh agar melakukan amalan soleh tetapi anggota badan enggan melakukannya.
Pastikan Harta Dari Sumber Yang Halal:
Abdullah Bin Mubarak r.alaih berkata: "Bagiku memulangkan kepada pemiliknya satu dirham yang sampai ke tangan aku dengan cara yang haram sama ada dalam bentuk hadiah atau selainnya adalah lebih baik untukku dari bersedekah sebanyak enam ratus dirham. Cuba Kita lihat apa yang di ucapkan oleh Ulama ini? Kita lebih suka menerima apa saja yang tidak tahu sama ada haram atau halalnya benda itu.
Kata-kata Abdullah ibnu Mubarak menunjukkan bagaimana setiap dari kita mesti berhati-hati terhadap sebarang kekayaan atau harta yang di milikinya dan pastikan dari mana sumbernya. Semoga Allah Ta'ala beri taufiq dan hidayah kepada kita untuk menjauhi dari yang haram. Amin..
Tindak-tanduk Ditentukan Oleh Kesucian Hati, Kesucian Hati Bergantung Kepada Kehalalan Makanan dan Minuman:
Di dalam tubuh manusia juga terdapat seketul daging. Jika seketul daging ini baik (tanpa mengalami kecacatan rohani dan fizikal) maka keseluruhan tubuh akan menjadi baik. Sebaliknya apabila seketul daging ini rosak maka seluruh tubuh manusia akan menjadi rosak. Ketahuilah bahawa seketul daging tersebut adalah hati (Al-Qalb/Heart). Hati adalah pemerintah bagi keseluruhan tubuh, kesihatannya juga adalah merupakan kesihatan untuk seluruh tubuh. Hati akan menjadi sihat hanya sekiranya empunya diri mentaati Allah Ta'ala. Akibat dosa-dosa maka hati akan menjadi hitam.
Sebagai kesimpulan pencapaian kesolehan bergantung kepada keelokan dan kesucian hati. Kesucian hati pula bergantung kepada rezeki yang halal. Oleh yang demikian, mita sudah mengetahui akan kepentingan dalam menekankan peranan makanan halal. (WALLAHU'ALAM)
No comments:
Post a Comment