السّلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Thursday, March 29, 2012
Darjat Seorang Pembaca Al-Quran
KEDUDUKAN PEMBACA AL-QURAN DI SISI ALLAH SWT
Muslimin dan Muslimat yg di Muliakan Allah Taala,
Allah SWT telah mengurniakan nikmat dan rahmat dengan mengutuskan Rasul-Nya dan menurunkan kitab-Nya al-Quran yang tidak ada sebarang keraguan dalam kandungan dari dahulu sehingga kini. Kitab wahyu yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Rasul-Nya ini dipenuhi mukjizat dan keagongan yang tiada tolak bandingnya dengan kitab-kitab yang lain. Bagi mengekalkannya al-Quran dalam kehidupan kita ianya perlu dijaga dengan sentiasa membaca dan menghafal serta memahami isi kandungannya agar berada di dalam jiwa dan hati setiap muslim. Firman Allah SWT dalam surah al-Hijr ayat 9:
Maksudnya: “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Qur'an, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.”
Rasulullah SAW menggesa umatnya agar sentiasa membaca al-Quran dan mendalami dari segi bacaannya, kerana itulah kita dapati para sahabat RA seperti Uthman, Zaid bin Tsabit, Ibnu Mas’ud, Ubay bin ka’ab dan lain-lain lagi, mereka ini sentiasa membaca al-Quran dan mengkhatamkannya setiap hari Jumaat. Begitu juga amalan tradisi orang-orang tua kita dahulu juga mewajibkan pendidikan al-Quran kepada anak-anak. Anak-anak tidak di benarkan keluar rumah selagi tidak membaca al-Quran dan mereka mengamalkan pembacaan al-Quran setiap malam selepas waktu maghrib secara beramai-ramai. Walaupun perkara ini tiada dalam syariat, tetapi membuktikan mereka sangat mengambil berat tentang pembacaan dan pendidikan al-Quran.
Banyak hadith-hadith yang menjelaskan kedudukan mereka yang sentiasa membaca al-Quran begitu tinggi dan mulia di sisi Allah SWT seperti dalam satu hadith Qudsi di mana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Sesiapa yang sentiasa sibuk dengan al-Quran dan zikir mengingatiku daripada meminta-minta kepadaku, maka aku akan anugerahkan perkara yang lebih baik daripada Aku anugerahkan kepada mereka yang sentiasa memohon kepadaku itu. Dan kelebihan kalam Allah di atas segala kalam yang lain seperti lebihnya Allah di atas makluk-Nya. Dalam satu hadith lain yang bermaksud: Apabila seseorang dapat mengkhatamkan bacaan al-Quran satu kali, 60 ribu malaikat memohon keampunan dari Allah SWT untuknya.
Mereka yang menjadikan al-Quran sebagai bacaan utama setiap masa akan diberi ganjaran pahala oleh Allah SWT. Setiap huruf yang dibaca akan dikira sebagai sepuluh pahala. Sabda Rasulullah SAW:
Bermaksud: " Sesiapa yang membaca satu huruf dari al-Quran, maka bagi-nya diberi sepuluh pahala dan ditambah sepuluh lagi kewajiban seumpamanya, tidak aku katakan( alif, lam, mim ) itu satu huruf, akan tatapi alif satu huruf dan lam satu huruf dan mim satu huruf". (Riwayat Tirmizi)
Mereka juga akan dinaikkan darjatnya di sisi Allah SWT sebagaimana yang dikatakan oleh Amr bin Ash: Barangsiapa membaca al-Quran maka mereka akan di naikkan ke darjat di kanan dan di kiri para Nabi, melainkan tidak diturunkan wahyu kepada mereka sahaja. Muka pembaca al-Quran sentiasa berseri-seri, sentiasa dalam keadaan tenang dan kehidupannya dirahmati dan dimurahkan rezeki oleh Allah SWT. Ketika berada di alam kubur diluaskan kedudukannya serta mendapat syafaat di akhirat nanti. Hadith Rasulullah SAW:
Bermaksud: " Bacalah kamu akan al-Quran, sesungguhnya (al-Quran) akan datang pada hari kiamat memberi syafaat kepada pembaca-pembacanya ". (Riwayat Muslim)
Rasulullah SAW sentiasa mengutamakan para sahabat yang membaca al-Quran dan yang menghafal dibandingkan dengan sahabat yang lain. Ini dibuktikan dengan tindakan Rasulullah SAW apabila menghantar sesuatu utusan, baginda akan memilih darpada kalangan sahabat yang banyak menguasai al-Quran sebagai pemimpin. Begitu juga ketika berhimpunnya para syahid yang terkorban untuk dikebumikan, Rasulullah SAW sendiri menguruskannya sehingga ke liang lahad dengan mendahului para syahid yang hafaz di kalangan sahabatnya.
Sebagai umat yang beriman maka sewajarnya al-Quran dibaca, difahami dan dijadikan panduan dan sumber rujukan yang utama dalam apa juga kegiatan hidup samada dari sudut akidah, syariat dan akhlak, khususnya dalam menangani pelbagai permasalahan, cabaran semasa untuk mencapai kehidupan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.
Namun persoalannya pada hari ini terdapat segelintir umat Islam yang lemah iman, goyah pegangan akidah dan akhlaknya, menjadi kaku bibir dan kelu lidahnya untuk menyebut ayat-ayat Allah SWT dan keras hati apabila terdengar ayat al-Quran. Mereka lebih gemar mengalunkan dan mendengar nyanyian lagu-lagu yang melalaikan berbanding ayat al-Quran. Tidak kurang pula ada dikalangan kita yang hanya berbangga dengan menggantung ayat-ayat al-Quran yang mahal-mahal sebagai hiasan. Walhal Islam tidak menyuruh sedemikian.
Justeru itu, kami menyeru marilah sama-sama kita menjadikan budaya membaca al-Quran sebagai gaya hidup. Kita mesti yakin bahawa al-Quran sahajalah yang mampu menjadi ubat dan penawar kepada segala jenis penyakit samada rohani atau jasmani yang sedang melanda masyarakat masa kini. Janganlah kita hanya membaca al-Quran pada masa-masa tertentu sahaja seperti ketika dalam kesusahan, ketika sakit, ketika menghadapi saat kematian atau pada hari tertentu sahaja.
Ibu-bapa perlulah memprogramkan penghayatan al-Quran dalam keluarga terutama kepada anak-anak dengan memperuntukkan masa seperti selepas solat maghrib sebagai waktu membaca, mempelajari dan mentadabbur al-Quran. Mengambil usaha dengan menghantar anak-anak ke kelas pengajian al-Quran samada di surau dan masjid atau di kelas yang telah disediakan. Setiap orang mesti berguru untuk mempelajari Al-Quran, kerana dengan bertalaqi barulah kita mendapat keberkatan menuntut Ilmu agama. Jika kita tidak berguru maka, kita akan berguru dengan syaitan.
Firman Allah SWT dalm surah al-Israa’ ayat 45:
Maksudnya: " Dan apabila kamu membaca Al-Qur'an, Kami jadikan antaramu dan orang yang tidak beriman kepada hari akhirat itu, suatu dinding yang tertutup.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment