السّلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Thursday, March 29, 2012
Darjat Seorang Pembaca Al-Quran
KEDUDUKAN PEMBACA AL-QURAN DI SISI ALLAH SWT
Muslimin dan Muslimat yg di Muliakan Allah Taala,
Allah SWT telah mengurniakan nikmat dan rahmat dengan mengutuskan Rasul-Nya dan menurunkan kitab-Nya al-Quran yang tidak ada sebarang keraguan dalam kandungan dari dahulu sehingga kini. Kitab wahyu yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Rasul-Nya ini dipenuhi mukjizat dan keagongan yang tiada tolak bandingnya dengan kitab-kitab yang lain. Bagi mengekalkannya al-Quran dalam kehidupan kita ianya perlu dijaga dengan sentiasa membaca dan menghafal serta memahami isi kandungannya agar berada di dalam jiwa dan hati setiap muslim. Firman Allah SWT dalam surah al-Hijr ayat 9:
Maksudnya: “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Qur'an, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.”
Rasulullah SAW menggesa umatnya agar sentiasa membaca al-Quran dan mendalami dari segi bacaannya, kerana itulah kita dapati para sahabat RA seperti Uthman, Zaid bin Tsabit, Ibnu Mas’ud, Ubay bin ka’ab dan lain-lain lagi, mereka ini sentiasa membaca al-Quran dan mengkhatamkannya setiap hari Jumaat. Begitu juga amalan tradisi orang-orang tua kita dahulu juga mewajibkan pendidikan al-Quran kepada anak-anak. Anak-anak tidak di benarkan keluar rumah selagi tidak membaca al-Quran dan mereka mengamalkan pembacaan al-Quran setiap malam selepas waktu maghrib secara beramai-ramai. Walaupun perkara ini tiada dalam syariat, tetapi membuktikan mereka sangat mengambil berat tentang pembacaan dan pendidikan al-Quran.
Banyak hadith-hadith yang menjelaskan kedudukan mereka yang sentiasa membaca al-Quran begitu tinggi dan mulia di sisi Allah SWT seperti dalam satu hadith Qudsi di mana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Sesiapa yang sentiasa sibuk dengan al-Quran dan zikir mengingatiku daripada meminta-minta kepadaku, maka aku akan anugerahkan perkara yang lebih baik daripada Aku anugerahkan kepada mereka yang sentiasa memohon kepadaku itu. Dan kelebihan kalam Allah di atas segala kalam yang lain seperti lebihnya Allah di atas makluk-Nya. Dalam satu hadith lain yang bermaksud: Apabila seseorang dapat mengkhatamkan bacaan al-Quran satu kali, 60 ribu malaikat memohon keampunan dari Allah SWT untuknya.
Mereka yang menjadikan al-Quran sebagai bacaan utama setiap masa akan diberi ganjaran pahala oleh Allah SWT. Setiap huruf yang dibaca akan dikira sebagai sepuluh pahala. Sabda Rasulullah SAW:
Bermaksud: " Sesiapa yang membaca satu huruf dari al-Quran, maka bagi-nya diberi sepuluh pahala dan ditambah sepuluh lagi kewajiban seumpamanya, tidak aku katakan( alif, lam, mim ) itu satu huruf, akan tatapi alif satu huruf dan lam satu huruf dan mim satu huruf". (Riwayat Tirmizi)
Mereka juga akan dinaikkan darjatnya di sisi Allah SWT sebagaimana yang dikatakan oleh Amr bin Ash: Barangsiapa membaca al-Quran maka mereka akan di naikkan ke darjat di kanan dan di kiri para Nabi, melainkan tidak diturunkan wahyu kepada mereka sahaja. Muka pembaca al-Quran sentiasa berseri-seri, sentiasa dalam keadaan tenang dan kehidupannya dirahmati dan dimurahkan rezeki oleh Allah SWT. Ketika berada di alam kubur diluaskan kedudukannya serta mendapat syafaat di akhirat nanti. Hadith Rasulullah SAW:
Bermaksud: " Bacalah kamu akan al-Quran, sesungguhnya (al-Quran) akan datang pada hari kiamat memberi syafaat kepada pembaca-pembacanya ". (Riwayat Muslim)
Rasulullah SAW sentiasa mengutamakan para sahabat yang membaca al-Quran dan yang menghafal dibandingkan dengan sahabat yang lain. Ini dibuktikan dengan tindakan Rasulullah SAW apabila menghantar sesuatu utusan, baginda akan memilih darpada kalangan sahabat yang banyak menguasai al-Quran sebagai pemimpin. Begitu juga ketika berhimpunnya para syahid yang terkorban untuk dikebumikan, Rasulullah SAW sendiri menguruskannya sehingga ke liang lahad dengan mendahului para syahid yang hafaz di kalangan sahabatnya.
Sebagai umat yang beriman maka sewajarnya al-Quran dibaca, difahami dan dijadikan panduan dan sumber rujukan yang utama dalam apa juga kegiatan hidup samada dari sudut akidah, syariat dan akhlak, khususnya dalam menangani pelbagai permasalahan, cabaran semasa untuk mencapai kehidupan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.
Namun persoalannya pada hari ini terdapat segelintir umat Islam yang lemah iman, goyah pegangan akidah dan akhlaknya, menjadi kaku bibir dan kelu lidahnya untuk menyebut ayat-ayat Allah SWT dan keras hati apabila terdengar ayat al-Quran. Mereka lebih gemar mengalunkan dan mendengar nyanyian lagu-lagu yang melalaikan berbanding ayat al-Quran. Tidak kurang pula ada dikalangan kita yang hanya berbangga dengan menggantung ayat-ayat al-Quran yang mahal-mahal sebagai hiasan. Walhal Islam tidak menyuruh sedemikian.
Justeru itu, kami menyeru marilah sama-sama kita menjadikan budaya membaca al-Quran sebagai gaya hidup. Kita mesti yakin bahawa al-Quran sahajalah yang mampu menjadi ubat dan penawar kepada segala jenis penyakit samada rohani atau jasmani yang sedang melanda masyarakat masa kini. Janganlah kita hanya membaca al-Quran pada masa-masa tertentu sahaja seperti ketika dalam kesusahan, ketika sakit, ketika menghadapi saat kematian atau pada hari tertentu sahaja.
Ibu-bapa perlulah memprogramkan penghayatan al-Quran dalam keluarga terutama kepada anak-anak dengan memperuntukkan masa seperti selepas solat maghrib sebagai waktu membaca, mempelajari dan mentadabbur al-Quran. Mengambil usaha dengan menghantar anak-anak ke kelas pengajian al-Quran samada di surau dan masjid atau di kelas yang telah disediakan. Setiap orang mesti berguru untuk mempelajari Al-Quran, kerana dengan bertalaqi barulah kita mendapat keberkatan menuntut Ilmu agama. Jika kita tidak berguru maka, kita akan berguru dengan syaitan.
Firman Allah SWT dalm surah al-Israa’ ayat 45:
Maksudnya: " Dan apabila kamu membaca Al-Qur'an, Kami jadikan antaramu dan orang yang tidak beriman kepada hari akhirat itu, suatu dinding yang tertutup.
Monday, March 19, 2012
Sayunya bila Bacaan dan Ilmu Al-Quran ditinggalkan..
Alhamdulillah, syukur kita kepada Allah Taala diatas segala nikmat-nikmaNya yang dianugerahkan. Dalam keseronokan kota, kekenyangan kita, kesempurnaan tidur kita pada waktu siang dan malam, kelancaran perbualan kita dengan sesiapa sahaja dan sebagainya nikmat-nikmat yang lain, jangan kita lupa ada saudara seislam kita dalam waktu yang sama tidak ada nikmat-nikmat itu semua.
Di Negara -negara Islam sekeliling kita umat Islam dalam keadaan menderita disebabkan oleh keadaan umat Islam itu sendiri. Dalam mas yang sama umat Islam tidak patuh dengan perintah Allah Taala, dan dengan senang nya meninggalkan solah contohnya tanpa rasa berdosa dan bersalah. Malah dianggap meninggalkan solah seperti meninggalkan makanan yang tidak ada selera. Jangan kita buat macam tu, kerana akibatnya kita sendiri yang menanggung segala musibah yang melanda negara orang Islam sekarang.
Mari kita fokus pada satu perkara, satu target ataupun satu bidang ilmu sahaja. Dalam satu bidang ilmu ini pun sudah ramai masyarakat kita tidak perihatin khususnya dan amnya seluruh dunia, betapa pentinganya ilmu ini diperolehi. Oleh itu tuan-tuan dan puan-puan hendaklah kita fikir sejenak apa yang mesti kita usaha untuk mendapat satu ilmu ini.
Al-Quran adalah mukjizat Nabi s.a.w yang terbesar dan dalamnya mengandungi hidayah, shifa, dan segala kebaikan. Dengan surah Fatihah sahaja kita boleh mendapat kesembuhan penyakit, tetapi kita tidak tahu kelebihan ini kerana tidak mencari.
Fokus kita ialah lebih 70% dalam masyarakat di dunia tidak mahir membaca Al-Quran dan lebih 40% tidak boleh langsung membaca Al-Quran. Tetapi dalam masa yang sama kita boleh membaca bahan bacaan yang lain dengan begitu mahir. Dikalangan budak-budak pula amat mengecewakan keran peratus yang tinggi, umur 11 tahun keatas tidak boleh membaca dengan baik. Ada yang tidak boleh membaca Al-Quran langsung bila umur sudah mencecah 12 tahun. Ini membimbangkan kita khususnya Ustaz-ustaz (di Pusat Tahfiz kami) dan Pengajar-pengajar Al-Quran kerana mereka tidak diberi asas langsung.
Kepada ibubapa dan waris perlulah mengambil berat perkara yang sangat penting ini, kerana Al-Quran adalah menyelamatkan manusia dari segala kesesatan dan keburukan. Jika kita tidak tahu membaca Al-Quran maka kita sudah menempah kemunduran, kesesatan, kesusahan dan musibah. Al-Quran akan menjadi syafaat kita pada hari Qiamat jika kita membacanya dan menjaganya didunia. Jika dalam kehidupan dunia kita tidak kisah langsung dan memandang sepi kepada Al-Quran maka ingatlah bahawa kebinasaan layak untuk kita di dunia ini lagi dan akan berterusan di akhirat.
(Semoga Allah Taala menyelamatkan kita )
Untuk pengetahuan kita semua bahawa seorang yang mahir dan berusaha untuk menjadikan Al-Quran sebagai perkara yang sangat penting dalam kehidupanya, maka orang ini akan mendapat kebaikan yang tidak disangka-sangka. Kepada ahli Al-Quran (Huffaz) yang berusaha bersungguh-sungguh maka tentang rezeki mereka didalam tanggungan Allah Taala. Kepada mereka yang menuntut ilmu agama khususnya Al-Quran akan mendapat kebaikan dari segi rezeki dan yang lainnya tanpa bersusah payah. Percayalah, kerana perkara ini telah berlaku kepada ramai Huffaz yang Istiqamah dan bersungguh-sungguh. Kehidupan orang yang ada ilmu agama dan mereka mengjarnya pula kepada orang lain adalah kehidupan yang simple dan penuh dengan ketenanggan serta rezeki datang dengan begitu mudah sekali.
Sebagai orang Islam yang perihatin perlulah kita jadikan pengajian Al-Quran adalah sebagai subjek yang utama dalam keluarga kita, dan mewajiblan setiap ahli keluarga mahir dalam bacaannya. Jika kita tidak memandang serius dalam pengajian Al-Quran maka kita lah yang akan menanggung kerugian didunia ini lagi dan akan berterusan kekal di akhirat.
Mari kita lihat apa yang akan berlaku jika kita atau ahli keluarga tidak boleh membaca Al-Quran dengan mahir. Pertama sekali jika dalam kehidupan, kita tidak membaca Al-Quran maka wajah kita tidak ada nur (cahaya), kehidupan tidak ada ketenangan dan ketenteraman, kesusahan akan mudah berjangkit kepada kita dan sebagainya. Keduanya kita tidak mampu bersembahyang dengan betul dan sembahyang kita langsung tidak diterima. Sebabnya ialah tidak boleh membaca Al-Quran, dan solah kita adalah sia-sia sahaja. Kerana dalam solah memerluan seseorang pandai membaca Al-Quran. Dalam hadis ada menyebutkan bahawa yang bermaksud: "Perkara pertama yang akan dihisab adalah Solah, Jika solah elok maka semua amalan selepas solah akan diterima, jika Solah rosak maka semua amalan selepas solah akan menjadi rosak juga". Oleh itu kita perlulah fikir sejenak dimanakah kita sekarang? Adakah apa yang kita pilih dan lakukan selama ini akan menyelamatkan diri kita sendiri atau memusnahkan? Dimanakah tahap kita dalam Solah dan Pembacaan Al-Qurana?
Ketiga ialah bila seorang itu hampir kepada kematian maka perkara pertama yang dia perlu adalah bacaan Al-Quran. Jika dia seorang bapa, maka dia memerlukan anak-anaknya untuk membaca Al-Quran disisinya. Bagaimanakah kalau seorang pun ahli keluarganya tidak pandai membaca Al-Quran? Maka kepada siapakah akan dia minta pertolongan? Jiran? Sahabat handai? Keluarga terdekat? Siapa? Siapa? Sudah tentulah mereka yang boleh membaca Al-Quran dengan sempurna.
Keempat ialah bila seseorang sudah mati dan berada dalam tanah perkuburan, maka pada waktu itu dia memerlukan bekalan untuk menyelamatkan dia dari siksaan dan azab kubur. Dalam kehidupan didunia dia langsung tidak peduli dengan Al-Quran dan ahli keluarganya pun tidak boleh membaca Al-Quran. Maka bagaiman dia akan dapat bekalan untuk menyelamatkan dari siksaan kubur? Jika didunia dia selalu ambil berat dengan Al-Quran maka bila mati dia tidak akan dilupakan. Jika didunia dia suruh ahli keluarganya belajar Al-Quran maka bila dia mati keluarganya akan membaca untuknya.
Kesimpulannya kita tidak dapat lari dari kesusahan yang bersangatan apabila kita lupa Al-Quran didunia ini. Segala kesusahan, azab dan musibah akan menimpa mereka yang leka denga pengajian dan bacaan Al-Quran. Jadikanlah diri kita sebagai orang yang mahir dalam bacaan Al-Quran.
Ya Allah, Selamtakanlah kami dari segala kesusahan di akhirat kelak dan jadikan Al-Quran sebagai syafaat untuk kami....
Monday, March 12, 2012
Udang disebalik Mee...
WARTAWAN SINAR HARIAN
29 Januari 2012
YAN - Majlis Agama Islam Negeri (Main) diminta mengambil tindakan drastik bagi menangani isu memperalatkan pelajar sekolah tahfiz untuk mengutip derma.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata Main perlu mengambil tindakan sewajarnya bagi menyelesaikan fenomena itu kerana ia merupakan satu penipuan kepada ibu bapa.
"Sebab kutipan derma yang dibuat semacam satu penipuan kepada pihak ibu yang meyakini anak-anak mereka ini datang (ke sekolah tahfiz) untuk menghafal Al-Quran dan belajar agama tapi lain yang dibuatnya," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Agama (SMA) Nahdzah, Bukit Besar di sini, hari ini.
Beliau mengulas laporan sebuah akhbar yang mendakwa pelajar sebuah pusat tahfiz dikerah mengutip derma bagi membiayai aktiviti menghidupkan kembali ajaran sesat Azhar Wahab yang berselindung di sebalik jualan amal di seluruh negara.
Jamil Khir berkata, Main wajar mengenalpasti sekolah tahfiz yang terlibat dan membuat perbincangan secara terus berhubung permasalahan itu dengan pihak sekolah terbabit untuk menyekat aktiviti mereka dengan lebih berkesan.
Katanya, beliau juga berharap Pihak Berkuasa Tempatan membuat penelitian berhubung status pembinaan sesebuah sekolah tahfiz sama ada sah di sisi undang-undang atau sebaliknya.
Beliau berkata kewujudan sekolah tahfiz yang tidak berdaftar boleh menimbulkan kesan negatif kepada pembelajaran anak-anak memandangkan mereka tidak tahu tentang kurikulum sekolah yang diguna pakai.
Pada lawatan itu Jamil Khir yang mewakili Jabatan Perdana Menteri memberi sumbangan berupa wang tunai RM10,000 kepada pihak sekolah untuk pembiayaan membaik pulih serta membeli kelengkapan bilik asrama lelaki yang terbakar pada 24 Jan lepas.
Dalam kejadian pukul 12.40 tengah hari itu, sebuah bilik asrama lelaki musnah terbakar dan kerugian dianggar RM10,000. - Bernama
Saturday, March 3, 2012
Anak Soleh
Apa makna anak soleh?
Anak yang soleh bukan sahaja anak yang bersopan-santun dan taat kepada ibu-bapa sebagaimana yang disangka oleh kebanyakan kita, tetapi yang lebih utama dari itu ialah anak yang menjaga agamanya. Anak yang soleh ialah anak yang ta’at kepada Allah, yang tahu kewajipannya sebagai hamba Allah dan tahu tanggungjawabnya kepada agamanya. Apabila seorang anak dididik dengan taat kepada Allah dan patuh kepada suruhan agama, Insya’Allah anak itu secara otomatik akan taat kepada ibu-bapanya dan akan menjaga akhlaknya di mana-mana sahaja ia berada.
Bagaimana mendidik anak menjadi soleh?
Tidak ada cara mendidik anak yang paling baik dan paling berkesan melainkan dengan cara didikan Islam yang di tunjuk Nabi besar s.a.w. Langkah pertama ke arah didikan anak yang sempurna ialah keazaman ibu-bapa itu sendiri untuk kembali menghayati Islam dan Sunnah Nabi .s.a.w dan menghidupkan suasana keislaman di dalam keluarga dan rumah. Hanya anak yang hidup di dalam suasana keislaman yang dapat menghayati Islam dan seterusnya berjaya dibentuk menjadi anak yang soleh.
“Wahai orang-orang beriman! Sahut dan sambutlah seruan Allah dan RasulNya apabila Ia menyeru kamu kepada perkara-perkara yang akan menjadikan kamu hidup sempurna”. (al-Anfal: 24)
Seterusnya di bawah ini kita bentangkan perkara-perkara yang mesti kita lakukan untuk melahirkan anak-anak yang soleh;
1. Didiklah anak-anak kita mengenali Allah
Kita selalu mendengar ungkapan dari para ulama’ yang menyebutkan;
“Asas agama ialah mengenal Allah”.
Perkara pertama yang wajib kita ajarkan kepada anak-anak kita ialah kalimah Syahadah. Mengajar kalimah Syahadah bukan hanya mengajar menutur atau mengucapkannya sahaja sebagaimana yang dilakukan oleh kebanyakan orang hari ini, tetapi juga mengajar apa pengertian kalimah tersebut?, apa yang tuntut olehnya? dan apa perkara-perkara yang bertentangan dengan kalimah tersebut yang mesti dijauhi dari melakukannya?.
Kita perlu memberitahu anak-anak kita –dari semasa ke semasa- bahawa dengan mengucapkan kalimah tersebut mereka telah mengisytiharkan diri mereka beriman kepada Allah. Oleh demikian, mereka wajib mentaati Allah pada setiap ketika dan dalam setiap gerak-geri serta tingkah-laku mereka. Pada masa yang sama, mereka wajib menolak segala yang bertentangan dengan kehendak Allah sama ada yang berupa agama (yang lain dari Islam), fahaman, ideologi, budaya, gaya hidup, tingkah-laku, peraturan, undang-undang dan sebagainya. Inilah tuntutan kalimah Syahadah yang dapat kita fahami dari firman Allah:
“Dan sesiapa mengingkari taghut dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia berpegang dengan simpulan yang teguh, yang tidak akan putus selama-lamanya. Dan Allah maha mendengar lagi maha mengetahui”. (al-Baqarah: 256)
Menurut Imam Sa’id bin Jubair dan Imam ad-Dhahhak; yang dimaksudkan dengan ‘simpulan yang teguh’ dalam ayat di atas ialah kalimah 'Lailahaillallah' Adapun thagut, maknanya ialah ‘segala yang menyesatkan manusia’ sama ada Iblis, Syaitan dan sebagainya.
2. Pastikan anak-anak kita sentiasa mendirikan solat dan menjaga ibadah-ibadah wajib yang lain
Rasulullah s.a.w. sendiri telah berpesan kepada kita supaya mengambil berat perihal solat anak-anak kita, di mana baginda bersabda;
“Suruhlah anak kamu mengerjakan solat apabila ia telah berumur tujuh tahun dan pukullah mereka jika enggan mengerjakan solat sedangkan mereka telah berumur sepuluh tahun”. (Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud dan al-Hakim dari Abdullah bin Amru r.a.)
Solat adalah tiang agama. Menunaikan solat beerti menegakkan agama dan meninggalkannya beerti mengabaikan agama. Dalam pendidikan, solat mempunyai rahsia didikan yang amat hebat kepada anak-anak kita. Di samping mendidik anak-anak kita agar sentiasa ingat kepada Allah, solat menjadi benteng kepada mereka dari keruntuhan ahklak dan gejala social. Ini melihat kepada kekuatan yang ada pada solat dalam mencegah manusia dari melakukan dosa dan munkar sebagaimana yang ditegaskan oleh Allah sendiri;
“Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan munkar”. (al-Ankabut: 45)
Adalah mustahil jika kita hendak mengekori anak-anak kita ke mana saja mereka pergi untuk memastikan mereka berbuat baik di mana-mana sahaja mereka berada. Namun jika kita berjaya mendidik anak kita dengan solat sehingga solat itu melekat dalam jiwa mereka, yakinlah bahawa sekalipun tanpa kehadiran kita, mereka akan tetap istiqamah dengan kebaikan kerana solat akan membenteng mereka dari melakukan kejahatan dan maksiat.
Selain dari solat, kita juga wajib mengasuh mereka menjaga ibadah-ibadah wajib yang lain seperti puasa, zakat, haji dan sebagainya.
3. Bekalkan ilmu agama yang secukupnya kepada anak-anak kita?
Menuntut ilmu agama diwajibkan oleh Allah ke atas setiap orang Islam sama ada lelaki atau perempuan. Sabda Rasulullah s.a.w:
“Menuntut ilmu (agama) adalah fardhu ke atas setiap orang Islam”. (Riwayat Imam al-Baihaqi dan at-Thabrani dari Anas r.a. dan al-Hasan bin Ali r.a.)
Bagi anak-anak, tanggungjawab mengajar ilmu agama kepada mereka asalnya adalah kewajipan ibu-bapa. Namun jika ibu-bapa tidak mampu mengajar sendiri anak-anak mereka, mereka wajib mencari seorang guru/ustaz yang dapat mengajar anak-anak mereka segala hal yang wajib diketahui tentang agama merangkumi;
a) Ilmu aqidah
b) Ilmu Ibadah
c) Ilmu halal dan haram (dalam makanan, percakapan, tindakan, pergaulan dan sebagainya)
d) Ilmu tentang hati dan rohani
e) Ilmu tentang kewajipan sebagai seorang muslim
f) Ilmu untuk membaca al-Quran
g) Ilmu tentang adab-adab sebagai seorang muslim
Kita melihat hari ini ramai ibu-bapa mengabaikan pengajian ilmu agama kepada anak-anak mereka. Mereka lebih menekankan ilmu-ilmu duniawi seperti sains, matematik dan sebagainya. Mereka sanggup menghabiskan wang yang banyak bagi memastikan anak-anak mereka lulus dengan cemerlang dalam ilmu-ilmu tersebut. Namun ilmu agama mereka abaikan. Mereka tidak pernah risau anak-anak mereka jahil tentang agama asalkan pandai ilmu-ilmu lainnya. Kerana itu tidak hairanlah jika kita dapati hari ini ramai anak-anak orang Islam yang semakin liar dari agama; meninggalkan solat, tidak tahu membaca al-Quran, tidak menutup aurat dan mudah terjebak dengan maksiat dan munkar. Semua gejala ini puncanya tidak lain dari pengabaian terhadap didikan agama oleh ibu-bapa.
4. Hidupkan dalam rumah kita Biah Islamiyyah (suasana keislaman)
Anak-anak memerlukan qudwah (yakni contoh/tauladan) untuk menjadi anak-anak yang soleh. Qudwah ini seharusnya bermula dari ibu-bapa dan juga suasana di rumah. Biah atau suasana di rumah mempunyai peranan yang besar dalam membentuk anak-anak. Oleh demikian, suasana keislaman di dalam rumah hendaklah dihidupkan. Pada masa yang sama, elakkanlah sebarang bentuk maksiat dan munkar dari rumah kita. Selain itu, menghidupkan sunah Nabi di dalam rumah juga memberi kesan besar dalam mewujudkan biah/suasasa keislaman di dalam rumah. Antara sunnah Nabi s.a.w. yang perlu kita praktikkan di rumah ialah;
a) Membaca al-Quran di rumah
Seboleh-bolehnya, ibu-bapa hendaklah menunjukkan minat mereka terhadap al-Quran dengan selalu membacanya di rumah di hadapan anak-anak mereka. Dalam satu hadis, Rasulullah mengibaratkan rumah yang tidak dibacakan al-Quran di dalamnya umpama kubur-kubur. Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda;
“Jangan kamu jadikan rumah-rumah kamu sebagai kubur. Sesungguhnya syaitan melarikan diri dari rumah yang dibacakan di dalamnya surah al-Baqarah”. (Riwayat Imam Muslim)
Bagi ibu-bapa yang tidak berkesempatan membaca al-Quran di rumah atau tidak berkemampuan membacanya, maka sebagai alternatif lain untuk menghidupkan suasana al-Quran di rumah ialah dengan memutarkan kaset-kaset atau cd-cd al-Quran di dalam rumah pada setiap hari terutamanya di waktu pagi dan pada masa anak-anak berhimpun di rumah.
b) Mengerjakan solat-solat sunat di rumah
Sabda Rasulullah s.a.w.;
“Kerjakanlah solat –wahai manusia- di rumah-rumah kamu. Sesungguhnya solat yang paling afdhal ialah seseorang mengerjakan solat di rumahnya kecuali solat yang fardhu”. (Riwayat Bukhari dan Muslim dari Zaid bin Thabit r.a.)
Dalam hadis yang lain Rasulullah s.a.w. bersabda; “Kerjakanlah sebahagian solat kamu dirumah kamu. Janganlah kamu jadikan rumah-rumah kamu ibarat kubur”. (Riwayat Imam Muslim dari Jabir r.a.)
Antara solat sunat yang digalakkan untuk dikerjakan di rumah ialah solat dhuha, solat tahajjud, solat hajat, solat taubat, solat tasbih, solat witir, solat sunat yang mengiringi solat fardhu dan sebagainya. Ibu-bapa yang selalu mengerjakan solat-solat sunat di rumah akan memberi qudwah kepada anak-anak dalam menanamkan sikap suka beribadah dan meningkatkan kesedaran rohani mereka.
Lebih baik lagi jika anak-anak turut diajak bersama-sama mengerjakan ibadah-ibadah tersebut. Adalah harus –sebagai latihan- pada selang-selang waktu tertentu solat-solat sunat tersebut (khususnya solat malam atau qiyamullail) dilakukan secara berjamaah bersama ahli keluarga dengan diimankan sendiri oleh bapa sebagai ketua keluarga. Sabda Rasulullah s.a.w.:
“Jika seorang lelaki mengejutkan ahli keluarganya pada waktu malam, lalu mereka mengerjakan solat dua rakaat bersama-sama, nescaya mereka berdua akan ditulis/disenaraikan di kalangan lelaki-lelaki yang banyak berzikir dan perempuan-perempuan yang banyak berzikir”. (Riwayat Imam Abu Daud dari Abi Said r.a.)
Dalam hadis yang lain, Rasulullah s.a.w. bersabda; “Allah mengasihi seorang lelaki yang bangun menunaikan solat malam, kemudian ia mengejutkan isterinya…Begitu juga, Allah mengasihi seorang perempuan yang bangun menunaikan solat malam, kemudian ia mengejutkan suaminya…”. (Riwayat Abu Daud dari Abu Hurairah r.a.)
c) Hidupkan budaya memberi salam
Anas r.a. menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda kepadanya;
“Wahai anakku! Jika kamu masuk menemui ahli keluargamu (di rumah kamu) maka berilah salam kepada mereka, nescaya akan dilimpahi keberkatan ke atas kamu serta ahli rumah kamu”. (Riwayat Imam at-Tirmizi dari Anas r.a.)
Memberi salam bermakna kita mendoakan keselamatan dan kesejahteraan kepada orang yang kita ucapkan salam kepadanya. Apabila ibu-bapa mengucapkan salam kepada anak-anak mereka (tatkala baru sampai di rumah atau tatkala ingin keluar dari rumah atau ingin berpisah dengan mereka) maka ia telah mendoakan keselamatan dan kesejahteraan untuk mereka. Apabila mereka menjawabnya, maka mereka mendoakan pula keselamatan dan kesejahteraan untuk bapa atau ibu mereka. Fenomena saling doa-mendoakan ini pastinya akan mewujudkan suasana harmoni dan kasih-sayang di dalam keluarga.
Rasulullah s.a.w. pernah bertanya para sahabat baginda; “Mahukah aku tunjukkan kepada kamu suatu amalan yang jika kamu lakukan nescaya kamu akan saling berkasih-sayang?”. Jawab mereka; “Ya”. Lalu baginda bersabda;
“Hidupkan budaya memberi salam antara sesama kamu”. (Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.)
d) Praktikkan adab-adab Islam di dalam rumah.
Antara adab-adab Islam yang perlu dipraktikkan oleh ibu-bapa serta ahli keluarga di rumah ialah adab ketika makan, adab ketika masuk dan keluar tandas, adab berpakaian, adab anak-anak ketika hendak masuk ke bilik ibu-bapa (terutamanya apabila anak-anak telah mumayyiz), adab keluar dan masuk rumah, adab tidur dan bangun dari tidur dan sebagainya. Adab-adab ini amat penting kerana ia melibatkan amalan dan rutin harian yang boleh memberi contoh berkesan kepada anak-anak dalam meningkatkan roh keislaman mereka.
5. Dekatkan anak-anak kita dengan masjid, mushalla atau surau
Dalam hal ini, terdapat hadis Rasulullah s.a.w. menyebutkan;
“Jika kamu lihat seorang lelaki selalu berulang-alik ke masjid, maka saksikanlah untuknya dengan iman (yakni akuilah bahawa ia sememangnya seorang yang benar beriman)”. (Riwayat Imam Ahmad, at-Tirmizi dan Ibnu Majah dari Abi Sa’id r.a.)
Masjid adalah rumah Allah. Orang yang hatinya terikat dengan masjid menunjukkan bahawa jiwanya dekat dengan Allah. Alangkah bertuahnya kita jika anak-anak kita memiliki hati dan jiwa sedemikian. Oleh itu, perlulah kita berusaha bersungguh-sungguh mendekatkan anak-anak kita dengan masjid, atau sekurang-kurangnya surau atau mushalla. Dalam satu hadis, Rasulullah s.a.w. menceritakan tujuh orang yang akan mendapat perlindungan Allah di akhirat, antara mereka ialah ‘seorang pemuda yang membesar dalam ibadah kepada Allah dan seorang lelaki yang hatinya terikat dengan masjid’. (Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim dari Abu hurairah r.a.)
6. Tanamkan semangat jihad dan perjuangan Islam ke dalam jiwa anak-anak kita
Semangat jihad yang kita maksudkan ialah semangat cintakan agama dan kesedaran untuk berkorban demi agama. Ramai di kalangan kita menganggap anak-anak belum tiba masanya untuk didedahkan dengan semangat jihad kerana mereka masih kecil. Anggapan ini ternyata salah. Sebenarnya dari kecillah kita perlu tanamkan semangat jihad ke dalam diri anak-anak kita supaya mereka akan terbiasa dengan semangat ini sejak awal mereka mengenali dunia dan kehidupan lagi. Lebih-lebih lagi apa yang disemai ketika kecil akan melekat kukuh dalam jiwa manusia sebagaimana kata hikmah;
‘Pengajaran semasa kecil umpama memahat di atas batu”.
Untuk menyemai semangat jihad dan perjuangan Islam ini, antara usaha yang perlu kita lakukan ialah dengan menceritakan kepada anak-anak kita –dari masa ke semasa- sejarah/sirah perjuangan Nabi kita Muhammad s.a.w. dan juga tokoh-tokoh pejuang Islam terdahulu terdiri dari para Nabi dan Rasul, para sahabat, para alim-ulama’, para Syuhada’ dan sebagainya.
Amat menyedihkan kita apabila melihat anak-anak umat Islam hari ini di mana mereka lebih mengenali artis-artis dan pelakon-pelakon dari mengenali para Nabi dan Rasul, tokoh-tokoh Islam, ulama’-ulama’ dan para pejuang Islam. Keadaan ini memerlukan usaha bersungguh-sungguh dari kita sebagai ibu-bapa untuk mengubahnya.
7. Tanamkan kepada anak-anak kita sikap cintakan ilmu dan majlis ilmu
Antara perkara yang perlu kita tanamkan sungguh-sungguh ke dalam jiwa anak-anak kita dalam usaha kita mendidik mereka menjadi anak-anak yang soleh ialah sikap cintakan ilmu dan sukakan majlis-majlis ilmu. Dengan adanya semangat cintakan ilmu dan majlis ilmu akan timbullah keinginan dalam diri anak-anak kita untuk menuntut ilmu agama secara berterusan hingga ke akhir hayat mereka tanpa had umur atau batasan waktu.
Jika kita perhatikan majlis-majlis ilmu hari ini, boleh dikatakan keseluruhan yang hadir ialah golongan dewasa dan juga orang-orang tua. Di mana anak-anak atau kanak-kanak? Kenapa mereka tidak dibawa bersama oleh ibu-bapa mereka untuk sama-sama menuntut ilmu? Demi masa depan anak-anak kita, marilah kita ubah keadaan ini. Marilah kita bawa bersama anak-anak untuk sama-sama berada di dalam majlis ilmu yang diibaratkan oleh Rasulullah s.a.w. sebagai taman syurga. Baginda bersabda;
“Apabila kamu berjalan melalui taman syurga, maka singgahlah di situ”. Lalu sahabat bertanya; “Apa itu taman syurga, ya Rasulullah?”. Jawab Rasulullah; “Iaitulah majlis-majlis ilmu””. (Riwayat Imam at-Thabrani dari Ibnu ‘Abbas r.a.)
8. Perhatikan dengan siapa anak-anak kita berkawan.
Kita tidak boleh mengongkong anak-anak kita dari berkawan. Namun apa yang kita perlu lakukan ialah memastikan anak-anak kita memilih kawan-kawan atau teman-teman yang baik supaya ia tidak terjebak ke dalam kejahatan dan maksiat kerana pengaruh kawan. Hal ini merupakan pesanan Rasulullah s.a.w. di mana baginda bersabda;
“Seseorang itu berada di atas agama temannya. Oleh itu, hendaklah setiap dari kamu memerhatikan dengan siapa ia berteman”. (Riwayat Imam Abu Daud dari Abu Hurairah r.a.)
Di dalam hadis di atas, Rasulullah s.a.w. berpesan kepada kita agar pandai memilih kawan/teman kerana kawan boleh mempengaruhi pengamalan agama kita. Maka sebagai ibu atau bapa, pesanan yang sama perlu kita sampaikan kepada anak-anak kita kerana mereka adalah tanggungjawab kita.
9. Mohonlah sentiasa dari Allah agar dikurniakan anak yang soleh
Doa adalah senjata kita orang-orang beriman. Dengan doa kita boleh memohon apa sahaja hajat kita dari Allah. Malah Allah amat suka hamba-hambanya yang banyak berdoa dan bermohon dariNya. Salah satu perkara yang perlu selalu kita pohonkan dari Allah ialah anak-anak yang soleh. Seboleh-bolehnya setiap kali kita berdoa, kita tidak lupa berdoa agar kita sekelian dianugerahkan Allah anak-anak yang soleh. Antara bentuk doa memohon anak soleh ialah yang termaktub di dalam al-Quran iaitu;
“Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak yang tergolong dari orang-orang soleh”. (as-Shaffat: 100)
Atau doa;
“Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kepada kami dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami (anak-anak soleh yang menjadi) penyejuk mata-mata kami (apabila melihatnya) dan jadikanlah kami ikutan kepada orang-orang bertakwa”. (al-Furqan: 74)
Selain itu, kita juga perlu berdoa agar Allah memberi ilmu dan kefahaman agama kepada anak-anak kita. Antara doanya ialah;
“Ya Allah, wahai Tuhan kami! Berilah kefahaman kepadanya dalam agama dan ajarkanlah kepadanya memahami al-Quran”.
Doa ini adalah doa yang pernah diucapkan oleh Rasulullah s.a.w. untuk Ibnu ‘Abbas r.a.. Berkat doa baginda ini, Ibnu ‘Abbas telah muncul di kalangan sahabat sebagai seorang pentafsir al-Quran yang paling unggul sehingga Abdullah ibnu Mas’ud menyatakan; “Sebaik-baik pentafsir al-Quran ialah Ibnu ‘Abbas”.
10. Sentiasalah memberi pesanan dan nasihat kepada anak-anak kita
Ibu-bapa hendaklah selalu memberi pesanan dan nasihat kepada anak-anak supaya sentiasa mentaati Allah dan menjaga perintah agama. Pesanan, teguran dan kata-kata nasihat dari ibu-bapa merupakan mutiara-mutiara berharga untuk anak-anak kerana ibu-bapa adalah orang yang paling hampir dengan anak-anak. Peranan ibu-bapa sebagai pemberi nasihat dan pesanan tidak terhenti setakat anak-anak masih kecil, tetapi berterusan hingga bila-bila sekalipun mereka telah dewasa. Di bawah ini kita kemukakan beberapa nasihat dan pesanan dari para nabi dan orang-orang soleh untuk anak-anak mereka sebagaimana yang terdapat di dalam al-Quran dan juga hadis Nabi s.a.w. untuk kita mencontohinya;
Pesanan Nabi Ibrahim kepada anak-anaknya
Pesanan Nabi Ibrahim untuk anak-anaknya dapat kita dilihat dalam surah al-Baqarah, ayat 132;
“Ibrahim telah berpesan kepada anak-anaknya dengan agama itu (yakni Islam) dan (begitu juga) Yaakob (di mana mereka berkata kepada anak-anak mereka): ‘Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih agama (Islam) untuk kamu, maka janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan muslim”. (al-Baqarah: 132)
Pesanan Nabi Yaakob untuk anak-anaknya
Allah taala menceritakan dalam surah al-Baqarah (ayat 133) bahawa Nabi Yaakob ketika hampir kematiannya ia telah berpesan kepada anak-anaknya supaya kekal menyembah Allah, tidak mengsyirikkannya.
“Adakah kamu menyaksikan ketika Yaakob hampir menemui kematian, ketika itu ia berkata kepada anak-anaknya; ‘Apakah yang kamu akan sembah selepas kematianku?’. Jawab mereka; ‘Kami akan menyembah Tuhanmu dan Tuhan bapamu Ibrahim, Ismail dan Ishak iaitu Tuhan yang maha esa dan kepadaNyalah sahaja kami berserah diri”. (al-Baqarah: 133)
Pesanan Luqman al-Hakim
Pesanan Luqman kepada anaknya dibentangkan dengan panjang lebar oleh Allah di dalam surah Luqman. Pesanan Luqman ini amat baik jika kita jadikan pesanan yang diulang-ulang dari masa ke semasa untuk anak-anak kita. Antara yang dipesankan oleh Luqman kepada anaknya ialah;
“Dan (ingatlah) tatkala Luqman berkata kepada anaknya semasa ia memberi nasihat kepada anaknya itu; ‘Wahai anak kesayanganku! Janganlah kamu mensyirikkan Allah (dengan sesuatu yang lain). Sesungguhnya perbuatan syirik itu merupakan satu kezaliman yang besar”. (Luqman: 13)
“Wahai anak kesayanganku! Dirikanlah solat dan suruhlah berbuat kebaikan serta laranglah dari kemungkaran, dan bersabarlah atas segala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang perlu diambil berat melakukannya”. (Luqman: 17).
Apa yang kita kemukakan ini hanyalah sebahagian kecil pesanan Luqman untuk anaknya. Untuk melihat pesanannya secara keseluruhan, sila rujuk surah Luqman (ayat 13 dan ayat-ayat seterusnya).
Pesanan Rasulullah kepada Ibnu ‘Abbas
Diriwayatkan dari Ibnu ‘Abbas r.a. yang menceritakan; (Suatu hari) aku berada di belakang Nabi s.a.w.. Lalu baginda bersabda kepadaku; “Hai anak! Aku ingin mengajar kamu beberapa perkataan (iaitu); ‘Peliharalah Allah nescaya Ia akan pelihara kamu. Peliharalah Allah, nescaya kamu akan mendapatinya di hadapan kamu. Apabila kamu meminta, mintalah kepada Allah dan apabila kamu memohon pertolongan, pohonlah pertolongan dari Allah. Ketahuilah bahawa sesungguhnya jika sekelian umat manusia berhimpun untuk memberi manfaat kepada kamu dengan sesuatu, tidaklah mereka dapat memberi manfaat kepada kamu melainkan dengan suatu yang telah ditulis oleh Allah untuk kamu. Dan jika mereka semua berhimpun untuk memberi mudarat kepada kamu dengan sesuatu, tidaklah mereka dapat memudaratkan kamu melainkan dengan sesuatu yang telah ditulis oleh Allah akan menimpa kamu. Telah diangkat pena dan telah kering lembaran-lembaran’”. (Riwayat Imam Tirmizi)
Thursday, March 1, 2012
Mari Kenali Sahabat Nabi s.a.w
1) Abu Ayyub Al-Ansari r.a
Abu Ayyub al-Ansari r.a (587 - 668) atau nama sebenarnya Khalid bin Zaid bin Kulaib dari Bani An-Najjar. Beliau mendapat penghormatan kerana Rasulullah s.a.w turun dari unta baginda di rumah beliau selepas baginda memasuki Madinah semasa baginda berhijrah ke sana dari Mekah.
Semasa Rasulullah s.a.w memasuki Madinah, setiap orang dari kalangan orang-orang Ansar bercita-cita supaya Rasulullah s.a.w turun dari unta baginda di rumah mereka. Mereka menghalang perjalanan unta Nabi s.a.w secara silih berganti supaya unta baginda menghala ke rumah mereka kemudian Nabi bersabda kepada mereka: (Biarkanlah ia pergi kerana ia telah diperintahkan). Lalu unta tersebut terus berjalan sehinggalah ia berhenti di halaman rumah Abu Ayyub Al-Ansari r.a.
Abu Ayyub terlalu gembira melihat keadaan tersebut lalu beliau terus mendapatkan Rasulullah s.a.w menyambut kedatangan baginda dengan perasaan terlalu gembira dan rasa sangat terharu sambil membawa barang-barang yang dibawa oleh Nabi s.a.w seolah-olah beliau membawa khazanah dunia kemudian terus masuk ke rumahnya.
Jasa dan sumbangan
Beliau terlibat dalam peperangan menentang kerajaan Rom Byzantine sejak mula perjuangan hinggalah ke zaman pemerintahan Muawiyah. Beliaulah yang diisyaratkan oleh baginda dalam hadisnya yang bermaksud:
"Seorang lelaki yang soleh akan syahid dan akan dikuburkan di bawah kubu kota Konstantinopel"
Turki Uthmaniyyah mengangkat beliau sebagai idola dalam usaha pembebasan kota Konstantinopel ketika zaman pemerintahan Sultan Muhammad al-Fatih.
2) Abdullah ibn Rawahah r.a
Abdullah ibn Rawahah (Bahasa Arab: عبدالله ابن رواحة) merupakan seorang pemuda golongan Ansar dari suku kaum Khazraj. Nama penuh beliau adalah Abdullah ibn Rawahah ibn Tha'labah.
Beliau memeluk Islam bersama dua belas orang penduduk Madinah sebelum terjadinya peristiwa Hijrah dan atas jasanya juga, Islam lebih cepat tersebar di kawasan Madinah.
Kerana ketokohannya dalam usaha menegakkan Islam di Madinah, Rasulullah S.A.W melantik beliau sebagai panglima perang ketiga selepas Zaid ibn Harithah dan Ja'afar ibn Abi Thalib untuk menentang tentera Rom Byzantine dalam peperangan yang dikenali sebagai Perang Mu'tah.
Dalam pertempuran yang berlaku di daerah Mu'tah, beliau terkorban syahid selepas menggantikan Ja'afar. Tugas beliau kemudiannya diambil-alih oleh seorang yang mahir dan cekap dalam strategi teknikal dan taktikal peperangan iaitu Khalid bin al-Walid
Subscribe to:
Posts (Atom)