السّلام عليكم ورحمة الله وبركاته

KEPADA DATO/DATIN/ TUAN/PUAN YANG BUDIMAN, KAMI MEMERLUKAN SEBARANG SUMBANGAN ATAU ZAKAT UNTUK KEPERLUAN/PEMBIAYAAN PUSAT TAHFIZ INI. SEMOGA SEGALA KEPERIHATINAN DAN SUMBANGAN TUAN-TUAN/PUAN-PUAN AKAN DIBERI PAHALA DENGAN SETIAP HURUF YANG DIBACA OLEH PELAJAR-PELAJAR TAHFIZ DAN JUGA DIUCAPKAN JUTAAN TERIMA KASIH.

EMAIL: pbtaajaya@gmail.com

AKAUN BANK ISLAM (SG. PETANI):

(MAAHAD TAHFIZ AL-QURAN AMAN JAYA)

02020010048741

Saturday, July 24, 2010

Bacaan Hadis Kelebihan Amal


Pelajar-pelajar sedang mendengar bacaan hadis dari kitab fadhail amal karangan Sheikhul Hadis Maulana Zakariyya r.a selepas solat asar


Aktiviti kerohanian (mendengar hadis melembutkan hati dan apabila hati kita lembut maka mudahlah untuk mentaati Allah dan Rasul) pelajar-pelajar

Fadhail Amal:
Hadis-hadis kelebihan amal perlu di baca untuk mendorong manusia lebih cenderung kepada amalan-amalan agama seperti solat, bacaan Al-Quran, zikir, ilmu dan sebagainya.

Friday, June 18, 2010

Menghubungkan Silatur-Rahim memurahkan rezeki dan memanjangkan umur




عَنْ ابْنِ شِهَابٍ قَالَ أَخْبَرَنِي أَنَسُ بْنُ مَالِكٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ أَحَبَّ أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِي رِزْقِهِ وَيُنْسَأَ لَهُ فِي أَثَرِهِ فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ
Diriwayatkan daripada Ibn Syihab daripada Anas bin Malik bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang suka diluaskan rezekinya dan dilewatkan ajalnya maka hendaklah dia menghubungkan silaturrahim.”(Bukhari dan Muslim)

Hadis ini menunjukkan kepada kita dua faedah utama yang amat disukai oleh manusia. Setiap kita pasti mempunyai keinginan terhadap kedua-dua faedah utama ini iaitu rezeki yang luas dan umur yang panjang. Sememangnya pada fitrahnya kedua-dua perkara ini tertanam dalam diri manusia dan sentiasa dicita-citakannya. Pelbagai usaha dan percubaan yang dilakukan oleh manusia untuk menghimpunkan kekayaan yang banyak dan mengelakkan diri dari kelihatan tua untuk terus hidup lama. Mengapa perlu mencari pendekatan yang lain sedangkan Rasulullah s.a.w. telah menunjukkan jalan ke arahnya?
Ada banyak lagi faedah yang diperolehi daripada hubungan silaturahim. Apa yang disebutkan oleh baginda s.a.w adalah sebagai isyarat kepada rawatan jiwa manusia yang mempunyai sifat cintakan kepada harta dan panjang cita-cita dengan mengimpikan masa hadapan yang jauh. Dua sifat ini mesti dirawat dengan cara supaya keberkatan diperolehi dalam kehidupan. Keberkatan itu boleh dinyatakan sebagai rezeki yang mencukupi dan dapat memenuhi banyak keperluan walaupun sedikit, kesihatan yang berpanjangan, disukai oleh masyarakat yang ikhlas, merasa tenang dan lapang dalam menghadapi kehidupan, dikurniakan zuriat yang baik dan merasai kebahagiaan dan kedamaian.

Walaupun umur tidak panjang namun kesan dari amalan yang dilakukan menyebabkan suratan amalan terus tertulis dengan kebajikan. Ini tidak lain dan tidak bukan hasil kebajikan yang mendatangkan manfaat kepada masyarakat.

Ziarah menziarahi antara keluarga, yang jauh didekatkan dan yang dekat dieratkan lagi adalah ruang yang luas untuk melakukan kerja-kerja agama. Bukan semata-mata ziarah tetapi menghidupkan suasana kerjasama dalam kebajikan dan menyebarkan ilmu melalui perbincangan dengan cara yang tidak langsung. Maka akan ada sifat ambil tahu tentang keadaan keluarga dan dengan itu sebarang bantuan, material, emosi atau spiritual dapat dihulurkan dengan mudah.

Hubungan kekeluargaan merupakan asas yang penting dalam pembentukan masyarakat yang sejahtera. Kesefahaman dan kesepaduan antara anggota masyarakat akan terhasil apabila keluarga-keluarga yang membentuk suatu komuniti itu mempunyai hubungan yang mesra berasaskan akhlak Islam.

Keluarga yang disukai Islam ialah keluarga yang saling bekerjasama dalam keadaan senang mahupun susah, saling menyokong dan membantu ketika kelapangan dan kesempitan. Kemuliaan dan ketinggian akan diperolehi umat ini jika persaudaraan mereka utuh dan padu. Oleh kerana itu Allah Ta'ala dan RasulNya amat menekankan hubungan persaudaraan. Seseorang itu tidak boleh bersendirian dalam hidup ini melainkan memerlukan kepada pertolongan orang dengan hubungan kekeluargaan. Tentu sekali kesulitannya itu akan mendapat perhatian berdasarkan kepada hubungan persaudaraan yang terjalin itu.

Sebagai contoh, keutamaan menghulurkan sedekah kepada sanak saudara dapat dilihat melalui sabdaan Rasulullah s.a.w.:

عَنْ سَلْمَانَ بْنِ عَامِرٍ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ الصَّدَقَةَ عَلَى الْمِسْكِينِ صَدَقَةٌ وَعَلَى ذِي الرَّحِمِ اثْنَتَانِ صَدَقَةٌ وَصِلَةٌ
Diriwayatkan daripada Salman bin ‘Amir daripada Nabi s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya sedekah kepada orang miskin adalah satu sedekah dan kepada saudara mara dua perkara, sedekah dan hubungan.” (Nasa`i, Tirmizi dan Ibn Majah)

Hidup dalam suasana kasih sayang merupakan ciri utama masyarakat yang beriman. Allah s.w.t. berfirman: رُحَمَاءُ بَيْنَهُمْ
(Para sahabat itu) bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam). (al-Fath: 29)

Rasulullah s.a.w. sendiri telah meletakkan silaturahim sebagai kayu ukur kepada kesempurnaan iman itu.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيُكْرِمْ ضَيْفَهُ وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat maka hendaklah dia memuliakan tetamunya, sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat maka hendaklah dia menghubungan silaturahim, dan sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat maka hendaklah dia berkata yang baik atau hendaklah dia berdiam diri. (Bukhari)

Hadis di atas menjelaskan beberapa perkara yang menjadi tanda seseorang itu mencapai iman yang sempurna iaitu memuliakan tetamu, menghubungkan silaturahim, bercakap perkara yang baik dan menjauhkan diri daripada ucapan yang tidak elok. Semua perkara ini berpunca dari iman yang menguasai diri seseorang. Ini menunjukkan bahawa akhlak yang mulia mempunyai hubungan timbal balik dengan iman.

Supaya mendapat faedah yang besar daripada hubungan silaturahim, Rasulullah s.a.w. menyarankan kepada kita supaya mengenal asal usul keturunan.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ تَعَلَّمُوا مِنْ أَنْسَابِكُمْ مَا تَصِلُونَ بِهِ أَرْحَامَكُمْ فَإِنَّ صِلَةَ الرَّحِمِ مَحَبَّةٌ فِي الْأَهْلِ مَثْرَاةٌ فِي الْمَالِ مَنْسَأَةٌ فِي الْأَثَرِ
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah s.a.w. bersabda: Pelajarilah (jalur) keturunan kamu supaya kamu dapat menyambung tali persaudaraan kerana sesungguhnya silaturahim itu penyebab kasih sayang di kalangan ahli keluarga, menambahkan harta dan melewatkan pada kesan (yakni pertambahan umur) (Tirmizi, Ahmad dan Hakim)

Sunday, June 6, 2010

Segalanya di dalam Al-Quran



Segala puji bagi Allah Ta'ala yang telah menciptakan manusia dan telah mengajarkan 'bayan' (kuasa bertutur dan menjelaskan)serta menurunkan untuk manusia Al-Quran dan telah menjadikan Al-Quran itu peringatan, penawar, petunjuk dan rahmat bagi sesiapa yang mempunyai iman. Tidak ada sebarang keraguan pada Al-Quran dan Dia tidak menjadikan Al-Quran menyimpang dan Dia menurunkan Al-Quran sebagai kitab yang lurus, keyakinan terhadap Al-Quran. Selawat dan salam yang lengkapnya dan paling sempurna ke atas Nabi s.a.w yang merupakan sebaik-baik makhluq di kalangan jin dan manusia. Kedatangan Nabi s.a.w adalah rahmat untuk sekalian alam.

Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w bersabda: "Allah Ta'ala berfirman, "Hendaklah kamu mengingati Aku seketika selepas solah asar dan subuh nescaya Aku mencukupi kamu di antara keduanya"

Disebutkan dalam satu hadis yang lain, "Hendaklah kamu mengingati Allah nescaya Dia akan membantu menyempurnakan hajat kamu." (HR Imam Ahmad)

Usaha kita untuk urusan dunia begitu berlebihan sekali berbanding dengan usaha kita untuk akhirat. Jadi, apakah yang merugikan kalau kita melapangkan sedikit masa untuk mengingati Allah selepas solah subuh dan asar.

Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud: ''Yang terbaik antara kamu ialah orang yang belajar Al-Quran dan mengajarkannya" (HR Bukhari,Abu Daud,Tirmizi, Nasai dan Ibn Majah)

Dalam hadis Qudsi di riwayatkan Allah Ta'ala berfirman yang bermaksud: ''Jikalau sesiapa mendapati tidak ada masa untuk mengingati-Ku dan berdoa kepada-Ku kerana sibuk dengan Al-Quran maka Aku akan mengurniakan kepadanya perkara yang terbaik yang Aku kurniakan kepada orang yang berdoa kepada-Ku. Ketinggian perkataan Allah ke atas segala perkataan adalah seumpama ketinggian Allah Ta'ala ke atas segala makhluq" (HR Tirmizi)

Maksud hadis ialah, seseorang yang sentiasa sibuk menghafal, mempelajari atau memahami Al-Quran sehingga tidak ada masa untuk berdoa maka Allah Ta'ala akan memberi kepadanya sesuatu yang lebih baik daripada yang di berikan kepada orang lain yang berdoa kepada-Nya.

Ata bin Abi Rabah rah. berkata:''Telah sampai kepada ku bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, ''Sesiapa yang membaca surah Yassin pada permulaan hari maka segala hajatnya akan dipenuhkan" (HR Darimi)

Kelebihan-kelebihan surah Yassin juga banyak di sebutkan dalam hadis-hadis. Dalam satu hadis ada menyebut bahawa Allah Ta'ala membacakan surah Taha dan Yasin seribu tahun sebelum menciptakan langit dan bumi. Apabila para malaikat mendengarkan keadaan ini, mereka berkata, "Bertuahlah umat akan di turunkan Al-Quran ke atas mereka, bertuahlah hati-hati yang akan memikul Al-Quran (dengan menghafazkannya) dan bertuahlah lidah-lidah yang akan membaca Al-Quran."

Abdullah bin Mas'ud r.a meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w bersabda: "Sesiapa membaca surah Waqi'ah pada setiap malam, kebuluran tidak akan menimpanya untuk selama-lamanya."

Dalam hadis di atas memberitahu kita tentang perkara yang paling manusia takutkan iaitu kemiskinan. Manusia sanggup buat apa saja untuk menjauhkan dari kemiskinan sama ada haram atau pun tidak. Manusia sanggup menjerumuskan diri dalam kencah kebinasaan tanpa berfikir panjang. Sedangkan dalam hadis di atas menjelaskan bahawa sesiapa yang membaca surah Al-Waqiah pada setiap malam maka dia akan terselamat dari kebuluran selamanya. Jaminan apakah yang lebih besar selain jaminan dari seorang Rasul Allah? Sedangkan rezeki makhluq semuanya dalam gengaman Allah Ta'ala, dan untuk risau sesuatu yang Allah Ta'ala telah tetapkan adalah perkara yang kurang bijak. Contohnya begini, jika seorang rakyat telah di beri jaminan oleh seorang raja yang duit bulanannya akan di beri tanpa bekerja sampai ke akhir hayatnya maka adakah orang ini akan risau tentang kehidupannya??? Jadi apakah kita tidak merasa puas dengan jaminan Nabi s.a.w tentang rezeki kita??? Dengan meluangkan sedikit masa untuk membaca surah pada setiap malam, maka kita akan mendapat jaminan yang menghindarkan dari kemiskinan selamanya.
Di sini Ulama telah menukilkan hadis 40 yang mana banyak manfaat kepada orang yang membacanya dan menghafalkannya.

Salman r.a berkata bahawa saya bertaya kepada Nabi s.a.w tentang 40 hadis yang Baginda s.a.w sendiri telah bersabda bahawa sesiapa daripada kalangan ummat Baginda s.a.w yang menghafal hadis ini akan memasuki syurga. nabi s.a.w bersabda yang mafhumnya :

1)Kamu beriman kepada Allah Ta'ala
2)Hari Akhirat
3)Para Malaikat
4)Kitab-kitab Allah
5)Para Nabi
6)Kabangkitan selepas kematian
7)Taqdir baik dan buruk datang dari Allah Ta'ala
8)Bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah dan sesungguhnya Muhammad s.a.w adalah Rasul-Nya
9)Mendirikan solah pada waktunya dengan wudhuk yang sempurna
10)Menunaikan zakat
11)Berpuasa pada bulan Ramadhan
12)Mengerjakan Haji kamu mempunyai harta
13)Hendaklah solah sunat sebanyak 12 rakaat dalam sehari semalam. (Dalam riwayat yang lain ada menyebutkan tentang 12 rakaat solah sunat in) 2 rakaat sebelum fardhu subuh, 4 rakaat sebelum fardhu zuhur, 2 rakaat selepas fardhu zuhur, 2 rakaat selepas fardhu magrib dan 2 rakaat selepas fardhu isya.
14)Jangan kamu tinggalkan solah witir pada setiap malam
15)Jangan kamu menyekutukan Allah Taala dengan sesuatu pun
16)Jangan kamu menderhakai kedua ibu bapa kamu
17)Jangan kamu makan harta anak yatim secara zalim
18)Jangan kamu minum arak
19)Jangan kamu berzina
20)Jangan kamu bersumpah dusta dengan nama allah
21)jangan kamu memberi persaksian palsu
22)Jangan kamu mengikut hawa nafsu
23)Jangan kamu mengumpat saudara seislam
24)Jangan kamu menuduh wanita yang suci dengan zina (demikian juga dengan lelaki yang suci)
25)Jangan kamu berdengki dengan saudara seislam kamu
26)Jangan kamu bermain (dengan permainan yang sia-sia)
27)Jangan kamu leka bersama orang yang leka
28)Jangan kamu mengatakan kepada orang yang pendek ''wahai si pendek'' niat untuk mengaibkannya
29)Jangan kamu mempersendakan seseorang pun di kalangan manusia
30)Jangan kamu membawa mulut antara dua orang yang bersaudara
31)Bersyukurlah kepada Allah Ta'ala di atas nikmat-Nya
32)Bersabarlah di atas bala dan musibah
33)Jangan kamu berasa selamat dari azab Allah Ta'ala
34)Jangan kamu memutus tali persaudaraan
35)Eratkan tali persaudaraan dengan ahli keluargamu
36)Jangan kamu melaknat sesuatu pun daripada makhluq ciptaan Allah Ta'ala
37)Perbanyakkan sebutan Subhanallah,Alhamdulillah dan Lailahailallah
38)Jangan kamu mninggalkan solah Jumaat dan solah 2 hari raya
39)Ketahuilah bahawa apa-apa (susah dan senang) yang telah di takdirkan untuk kamu pasti tidak akan terlepas daripada kamu, dan apa-apa sahaja yang tidak di takdirkan untuk kamu, pasti tidak akan datang kepada kamu
40)Jangan kamu meninggalkan membacaal-Quran walau dalam apa-apa keadaan sekalipun.

Salman r.a telah bertanya kepada Nabi s.a.w tentang ganjaran yang akan di beri untuk sesiapa yang menghafal hadis ini. Nabi s.a.w menjawap, "Allah Ta'ala akan membangkitkan mereka bersama para Nabi dan Ulama"

Tuesday, June 1, 2010

Adakah kemiskinan yang di takuti??

Kebanyakan manusia takut terjatuh ke dalam kemiskinan. Mereka berusaha dengan berbagai cara untuk menghindarinya. Mereka begitu sedih dan berdukacita ketika mengalami kekurangan harta. Bahkan sehingga ada di antara mereka yang sanggup menukar agamanya hanya untuk mendapatkan sedikit harta benda duniawi. Ada di antara mereka menemui dukun, bomoh-bomoh dan yang seumpamanya untuk meminta tangkal, jampi-jampi dan sebagainya. Ada yang memelihara dan meminta bantuan makhluk halus (jin) dalam usaha untuk mendapat kekayaan. Dengan ini mereka telah menjual aqidah dan agamanya untuk kesenangan duniawi yang rendah dan sementara . Nas`alullaahas salaamah wal 'aafiyah.

Benarkah kemiskinan yang perlu kita takutkan? Benarkah kemiskinan yang dikhuatirkan oleh Rasulullah s.a.w. ke atas ummatnya?

عَنْ عَمْرو بْنِ عَوْفٍ الأَنْصَارِيِّ، أَنَّ رَسُوْلَ اللهِ بَعَثَ أَبَا عُبَيْدَةَ بْنَ الْجَرَّاحِ إِلَى الْبَحْرَيْنِ يَأْتِي بِجِزْيَتِهَا، فَقَدِمَ بِمَالٍ مِنَ الْبَحْرَيْنِ، فَسَمِعَتِ الأَنْصَارُ بِقُدُوْمِ أَبِي عُبَيْدَةَ، فَوَافَوْا صَلاَةَ الْفَجْرِ مَعَ رَسُوْلِ اللهِ، فَلَمَّا صَلَّى رَسُوْلُ اللهِ، اِنْصَرَفَ، فَتَعَرَّضُوْا لَهُ، فَتَبَسَّمَ رَسُوْلُ اللهِ حِيْنَ رَآهُمْ، ثُمَّ قَالَ: ((أَظُنُّكُمْ سَمِعْتُمْ أَنَّ أَبَا عُبَيْدَةَ قَدِمَ بِشَيْءٍ مِنَ الْبَحْرَيْنِ)) فَقَالُوْا: أَجَل يَا رَسُوْلَ اللهِ، فَقَالَ: ((أَبْشِرُوْا وَأَمِّلُوْا مَا يَسُرُّكُمْ، فَوَاللهِ مَا الْفَقْرَ أَخْشَى عَلَيْكُمْ وَلَكِنِّي أَخْشَى أَنْ تُبْسَطَ الدُّنْيَا عَلَيْكُمْ كَمَا بُسِطَتْ عَلَى مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ، فَتَنَافَسُوْهَا كَمَا تَنَافَسُوْهَا، فَتُهْلِكَكُمْ كَمَا أَهْلَكَتْهُمْ((

Dari 'Amr bin 'Auf Al-Anshari r.a, bahwasanya Rasulullah s.a.w mengutus Abu 'Ubaidah Ibnul Jarrah r.a. ke negeri Bahrain untuk mengambil jizyah dari penduduknya (kerana kebanyakan mereka adalah Majusi -pent). Kemudiannya dia kembali dari Bahrain dengan membawa harta. Orang-orang Ansar mendengar berita kepulanganan Abu 'Ubaidah lalu mereka bersegera menuju masjid untuk melaksanakan solat subuh bersama Rasulullah s.a.w . Ketika Rasulullah s.a.w. selesai solat beliau pun berpaling menghadap ke arah mereka. Jelas kepada Rasulullah mereka sangat inginkan harta yang dibawa Abu 'Ubaidah. Maka Rasulullah s.a.w pun tersenyum ketika melihat mereka

Kemudian beliau s.a.w bersabda, "Aku menjangka kamu telah mendengar bahwa Abu 'Ubaidah telah datang dengan membawa sesuatu (harta) dari Bahrain." Maka mereka menjawab, "Benar, Rasulullah." Lalu beliau s.a.w. bersabda, "Bergembiralah dan harapkanlah apa-apa yang akan menyenangkan kamu. Maka demi Allah! Bukan kemiskinan yang aku khuatirkan atas kamu. Akan tetapi aku khuatir akan dibentangkan dunia di hadapan kalian sebagaimana telah dibentangkan ke atas orang-orang sebelum kamu. Lalu kamu pun berlumba-lumba padanya sebagaimana mereka berlumba-lumba padanya. Kemudian dunia itu akan menghancurkan kamu sebagaimana telah menghancurkan mereka." (HR. Al-Bukhariy no.3158 dan Muslim no.2961)

Kemudian beliau s.a.w bersabda, "Bergembiralah dan harapkanlah apa-apa yang akan menyenangkan kalian. Maka demi Allah! Bukan kemiskinan yang aku khuatirkan atas kalian."

Ini bermakna bukan kemiskinan yang dibimbangi oleh Nabi s.a.w. terhadap kita. Bahkan sebaliknya kadang-kadang kemiskinan boleh menjadi kebaikan bagi seseorang ketika dia bersabar dan tetap taat kepada Allah dalam kemiskinannya tersebut.

Sabda Nabi. s.a.w. , "Bukan kemiskinan yang aku khuatirkan atas kalian." Yakni aku tidak bimbang kamu ditimpa kemiskinan kerana sesungguhnya orang yang miskin secara umumnya lebih dekat kepada kebenaran daripada orang yang kaya.

Perhatikanlah keadaan para rasul! Siapakah yang mendustakan mereka? Yang mendustakan mereka adalah para pembesar kaumnya, orang-orang yang paling jahat dan orang-orang kaya. Dan sebaliknya, kebanyakan yang mengikuti mereka adalah orang-orang miskin. Sehingga kebanyakan yang mengikuti Nabi s.a.w pun adalah orang-orang miskin.

Ini bukanlan bermakna orang kaya semuanya tidak bagus, apa yang di maksudkan ialah orang-orang yang mempunyai harta yang banyak tapi telah menggunakan harta itu kejalan yang tidak di redhai Allah taala. Jika orang yang mempunyai harta yang banyak dan menggunakan kejalan yang baik seperti sedekah, zakat, membantu orang-orang memerlukan dan sebagainya maka ini sangat besar pahala ganjaran yang di berikan Allah Taala kepada mereka. Kerana harta adalah datangnya dari Allah Taala dan bukanlah menjadi milik kita selamanya. Bila saja kita mati maka satu sen pun tidak akan bersama kita dalam kubur. Yang bersama kita dalam kubur adalah sedekah jariyah, doa anak yang soleh dan amalan..

Tuesday, May 11, 2010

Cara Mengguna Pemadam Api Untuk Pelajar2 Tahfiz



Pelajar-pelajar sedang tunggu seseorang yang akan memberi keterangan tentang penggunaan pemadam api.



Seorang pegawai dari syarikat Jalur Cahaya Sdn Bhd sedang bersembang dengan pelajar-pelajar sambil di perhatikan Penasihat (Dato Haji Muhammad Azaham Bin Abd Wahab & Isterinya) dan Pengerusi (Haji Mohamed Naguib Bin Abd Wahab yang memakai kopiah putih) Pusat Bimbingan Tahfiz Al-Quran Aman Jaya



Seorang pelajar Mohd Zulfa cuba nak mengguna pemadam api sambil di ajar oleh abang ni.



Zulfa nak bermula untuk padam api.



Zulfa baru je lepas padam api. Lega nya api terpadam dan ada orang ambil gambar pulak



Seorang pelajar Mohd Robieawwal dari Taman Bandar Baru Sg Lalang sedang memadam api. Ini pun ada orang ambil gambar.

Api baru je di padamkan..Tak besar pun apinya. Tapi untuk pelajar-pelajar tahu cara menggunanya penting juga bila berlaku kecemasan.



Masya-Allah tersilap la. Terbakar la pulak sebab api sambar kat botol yang berisi minyak petrol.

Saturday, April 24, 2010

Keajaiban Saintifik Al-Quran





Pengenalan

Lebih 14 abad lalu, Allah Ta,ala telah menurunkan kitab suci Al-Qur'an kepada manusia sebagai satu kitab panduan. Dia menyeru manusia agar berpegang kepada kitab ini sebagai jalan untuk mendapatkan kebenaran. Bermula saat ianya diwahyukan sehingga ke saat pengadilan kelak, kitab suci ini akan kekal sebagai satu-satunya panduan bagi manusia.

Gaya uslub dan ketinggian hikmah yang tiada tandingan yang terdapat di dalam kitab ini adalah bukti yang amat jelas bahawa ianya adalah kalam suci Allah Ta,ala. Sebagai tambahan, kitab ini mengandungi ciri-ciri keajaiban yang membuktikan bahawa ianya adalah wahyu kudus dari Allah Ta,ala. Satu dari ciri-ciri ini ialah kenyataan bahawa sejumlah kebenaran saintifik yang hanya mampu disingkap melalui kemajuan teknologi di abad ke 20 ini sebenarnya telah pun diungkapkan di dalam Al-Qur'an lebih 1400 tahun dahulu.

Sudah tentu Al-Qur'an bukanlah sebuah kitab sains. Tetapi, banyak fakta-fakta saintifik yang dinyatakan secara jelas dan dengan cara yang amat mendasar dalam surahnya hanya mampu disingkap melalu kecanggihan teknologi abad ke 20. semua fakta ini tidak diketahui ketika masa penurunan wahyu dan ini juga adalah bukti bahwa Al-Qur'an adalah kalam Allah Ta,ala.

Untuk memahami keajaiban saintifik Al-Qur'an, pertamanya kita akan melihat tahap kemajuan sains ketika mana kitab suci ini diturunkan.

Pada abad ke 7, ketika Al-Qur'an diwahyukan. Masyarakat arab telah pun memiliki kepercayaan khurafat dan yang tidak berasas yang berkaitan dengan isu-isu saintifik. Kedaifan peralatan teknologi untuk menyelidiki alam semesta dan bumi menyebabkan masyarakat ini mempercayai kepada legenda-legenda yang diwariskan dari generasi ke generasi, mereka mendakwa sebagai contoh, bahawa gunung-ganang menongkat langit, mereka percaya bahawa bumi adalah datar dan bahawa di sana terdapat gunung-gunung yang tinggi terletak di setiap penghujungnya. Mereka menyangkakan bahawa gunung-gunung ini adalah tiang yang menyebabkan kubah langit di atas.

Tetapi, semua kepercayaan khurafat masyarakat arab ini ditolak oleh Al-Qur'an. Dalam surah Ar-Ra'd ayat ke 2 dinyatakan:

اللّهُ الَّذِي رَفَعَ السَّمَاوَاتِ بِغَيْرِ عَمَدٍ تَرَوْنَهَا
Allah-lah Dia yang meninggikan langit-langit tanpa tiang (Ar-Ra'd)

Ayat ini telah membatalkan kepercayaan bahawa langit yang berada di atas kerana sokongan gunung-ganang. Dalam banyak subjek lain, fakta-fakta penting telah dinyatakan ketika mana tiada seorang pun yang dapat mengetahuinya.

Al-Qur'an diturunkan ketika umat manusia hanya mengetahui sedikit mengenai astronomi, fizik atau biologi yang mengandungi fakta mengenai pelbagai subjek seperti penciptaan alam semesta, manusia, struktur atmosfera dan keseimbangan yang membenarkan kehidupan di atas muka bumi. Sekarang, mari kita lihat beberapa keajaiban saintifik yang dinyatakan di dalam kitab suci Al-Qur'an bersama-sama.

Kewujudan Alam Semesta
Asal usul alam semesta diterangkan dalam Al-Qur'an dalam ayat berikut;
Dia adalah maha Pencipta langit dan bumi. Surat al-An'aam:101.

بَدِيعُ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ أَنَّى يَكُونُ لَهُ وَلَدٌ وَلَمْ تَكُن لَّهُ صَاحِبَةٌ وَخَلَقَ كُلَّ شَيْءٍ وهُوَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ
Dia Pencipta langit dan bumi. Bagaimana Dia mempunyai anak padahal Dia tidak mempunyai isteri. Dia menciptakan segala sesuatu; dan Dia mengetahui segala sesuatu (Al-An'aam)

Maklumat yang dinyatakan dalam Al-Qur'an ini adalah satu fakta yang sangat tepat dan selari dengan penemuan sains kontemporari. Kesimpulan yang dicapai dalam bidang astrofizik hari ini ialah bahawa alam semesta, bersama-sama dengan dimensi benda dan masa, telah terhasil melalui satu letupan yang besar yang terjadi ketika masa-sifar. Fenomena ini yang dikenali sebagai Big Bang membuktikan bahawa alam semesta telah diciptakan dari ketiadaan sebagai satu produk, dari satu letupan titik tunggal. Golongan saintifik moden percaya bahawa Big Bang adalah satu-satunya penerangan paling rasional dan fakta yang dapat dibuktikan mengenai permulaan dan asal kewujudan alam semesta.

Sebelum fenomena Big Bang terjadi, tidak terdapat sebarang benda yang wujud. Dalam keadaan tanpa sebarang kewujudan kebendaan, tenaga atau masa, dan yang mana hanya dapat diterangkan secara metafizik, semuanya ini sebenarnya telah diciptakan. Fakta ini, yang baru diketahui melalui kajian dalam bidang fizik moden, telah dinyatakan dalam Al-Qur'an 1400 tahun lalu.

Teori Ciptaan Big Bang
Lebih Kurang 15 million tahun yang lepas Alam ini telah wujud dengan letupan yang sangat besar (di panggil Big Bang)
Sebelum ini, semuanya dalam Alam dalam bentuk titik yang satu, tetapi letupan telah menyebabkan ianya menjadi bahagian-bahagian, dan sekarang Alam masih lagi berkembang.

Ianya sejuk sewaktu Hidrogen telah terbentuk. Ruang angkasa telah di penuhi dengan awan bergas dan debu, kemudian bintang-bintang dan galaksi telah terbentuk.

Dalam surah Fussilat ayat 11:

ثُمَّ ٱسۡتَوَىٰٓ إِلَى ٱلسَّمَآءِ وَهِىَ دُخَانٌ۬ فَقَالَ لَهَا وَلِلۡأَرۡضِ ٱئۡتِيَا طَوۡعًا أَوۡ كَرۡهً۬ا قَالَتَآ أَتَيۡنَا طَآٮِٕعِي
Kemudian Dia menunjukkan kehendakNya ke arah (bahan-bahan) langit sedang langit itu masih berupa asap; lalu Dia berfirman kepadanya dan kepada bumi: Turutlah kamu berdua akan perintahKu, samada dengan sukarela atau dengan paksa! Keduanya menjawab: Kami berdua sedia menurut patuh dengan sukarela;
(Fussilat)

Hari ini Alam mengandungi lebih kurang 100,000 million galaksi.

Pengembangan Alam Semesta

Dalam Al-Qur'an yang diwahyukan 1400 tahun lalu, ketika pengetahuan tentang astronomi masih sedikit, fakta mengenai pengembangan alam semesta telah diterangkan seperti berikut;

Dan langit itu Kami bina dengan kekuasaan (Kami) dan sesungguhnya Kami benar-benar meluaskannya. (Surah az-Zariyat:47)

وَالسَّمَاء بَنَيْنَاهَا بِأَيْدٍ وَإِنَّا لَمُوسِعُونَ
Dan langit itu Kami bangun dengan kekuasaan (Kami) dan sesungguhnya Kami benar-benar berkuasa (Az-Zaariyat)

Edwin Hubble
Perkataan 'langit' yang dinyatakan dalam ayat di atas digunakan dalam banyak tempat dalam Al-Qur'an yang bermaksud ruang angkasa dan cakerawala. Di sini sekali lagi, perkataan ini digunakan untuk maksud ini. Dalam perkataan lain, Al-Qur'an mendedahkan hakikat mengenai proses pengembangan alam semesta. Dan ini merupakan puncak kesimpulan yang diputuskan oleh dunia sains hari ini.

Sehingga penghujung abad ke 20, pandangan yang paling masyhur dalam dunia sains ialah bahawa 'alam semesta mempunyai sifat konstan (statik) dan telah wujud tanpa keterbatasan masa'. Kajian, pemerhatian dan pengiraan yang dijalankan melalui seluruh insfranstruktur teknologi moden, sebenarnya telah menunjukkan bahawa alam semesta telah wujud dalam masa yang terbatas dan berkembang secara konstan.

Pada permulaan abad ke 20, seorang ahli fizik Russia Alexander Friedmann dan ahli kosmologi Belgium George Le'maitre telah membuat pengiraan secara teori bahawa alam semesta adalah dalam keadaan pergerakan yang berterusan dan ia sebenarnya berkembang.

Fakta ini juga telah dibuktikan melalui data dari pemerhatian yang dijalankan pada tahun 1929. Edwin Hubble seorang ahli astronomi Amerika yang membuat pemerhatian di langit dengan menggunakan teleskop, mengisytiharkan bahawa bintang-bintang dan galaksi-galaksi bergerak menjauhi antara satu sama lain secara berterusan. Sebuah alam semesta di mana semua benda di dalamnya secara konstan bergerak menjauhi sesama mereka, jelas menggambarkan pengembangan alam semesta itu. Pemerhatian yang dijalankan dalam tahun berikutnya mengesahkan bahawa alam semesta adalah berkembang secara berterusan. Fakta ini telah di jelaskan dalam Al-Qur'an ketika mana hal ini masih belum lagi pernah diketahui oleh manusia. Ini adalah kerana Al-Qur'an adalah kalam Tuhan, maha Pencipta dan Pemerintah bagi seluruh alam semesta.


Pemisahan Langit Dan Bumi
Sepotong ayat mengenai penciptaan langit dinyatakan sebagai berikut:

أَوَلَمْ يَرَ الَّذِينَ كَفَرُوا أَنَّ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ كَانَتَا رَتْقاً فَفَتَقْنَاهُمَا وَجَعَلْنَا مِنَ الْمَاء كُلَّ شَيْءٍ حَيٍّ أَفَلَا يُؤْمِنُونَ
"dan apakah orang-orang kafir itu tidak melihat bahawasanya langit dan bumi itu keduanya dahulu adalah suatu yang padu (satu unit penciptaan), kemudian kami pisahkan antara keduanya. Dan daripada air Kami jadikan segala sesuatu yang hidup. Maka mengapakan mereka tiada juga beriman?". (Surah Al-Anbia: 30)

Kalimah 'ratq' diertikan sebagai dijahit yang bermaksud 'dikumpul bersama, dicampur' dalam kamus bahasa arab. Ianya digunakan untuk merujuk dua intipati yang berbeza yang membina suatu yang menyeluruh. Frasa 'Kami membuka jahitan; adalah perkataan fataq dalam bahasa arab dan menggambarkan bahawa sesuatu yang diwujudkan dengan membelah bahagian atau memusnahkan struktur ratq. Biji benih yang tumbuh bertunas dari tanah adalah satu contoh frasa ini.

Sekarang mari kita perhatikan sejenak ayat ini sekali lagi dengan menyimpan pemahaman ini di dalam minda. Di dalam ayat tersebut, langit dan bumi pada status pertamanya adalah berbentuk ratq. Kedua-duanya di pisahkan (fataqa) dengan kemunculan satu dari yang satu lagi. Apa yang menarik, apabila kita mengingati saat pertama fenomena Big Bang kita melihat bahawa satu titik tunggal mengandungi semua material alam semesta.

Dalam perkataan lain, setiap benda termasuk langit dan bumi yang masih belum diciptakan lagi, juga termasuk di dalam titik tunggal ini dalam keadaan ratq. Titik ini kemudiannya meletup dalam satu letupan yang besar, menyebabkan materialnya menjadi fataq dan proses ini membentuk keseluruhan struktur alam semesta. Apabila kita membandingkan pernyataan di dalam ayat Al-Qur'an di atas dengan penemuan saintifik, kita mendapati bahawa kedua-duanya berada dalam keserasian yang sempurna di antara satu sama lain. Apa yang cukup menarik perhatian ialah penemuan ini tidak diketahui sehingga abad ke 20.


Orbit
Ketika menerangkan mengenai bulan dan matahari dalam Al-Qur'an, ianya ditekankan bersama bahawa setiap satunya mempunyai laluan orbit tertentu;

وَهُوَ ٱلَّذِى خَلَقَ ٱلَّيۡلَ وَٱلنَّہَارَ وَٱلشَّمۡسَ وَٱلۡقَمَرَ‌ۖ كُلٌّ۬ فِى فَلَكٍ۬ يَسۡبَحُونَ
Dia yang menjadikan malam dan siang, matahari dan bulan, setiap mereka berenang di falak (tempat peredarannya). (Surah al-Anbiya; 33)

Dalam ayat lain dinyatakan juga bahawa matahari sebenarnya bukan objek yang statik tetapi juga mempunyai orbitnya tertentu;

وَٱلشَّمۡسُ تَجۡرِى لِمُسۡتَقَرٍّ۬ لَّهَا‌ۚ ذَٲلِكَ تَقۡدِيرُ ٱلۡعَزِيزِ ٱلۡعَلِيمِ
Dan matahari beredar di tempat peredarannya. Demikianlah ketetapan yang maha Perkasa dan maha Mengetahui. (Surah Yaasin;38)

Fakta yang dikemukakan dalam Al-Qur'an ini telah ditemui melalui pemerhatian astronomi hari ini. Berdasarkan kepada kiraan pakar-pakar astronomi, matahari bergerak dalam kelajuan yang besar selaju 720, 000 km sejam mengarah ke bintang Vega dalam satu orbit tertentu dalam sistem Solar Apex. Ini bererti matahari bergerak sejauh 17,280,000 km sejam secara anggaran. Bersama-sama dengan matahari, dan semua planet dan satelit yang berada dalam lingkungan sistem graviti matahari (sistem solar) juga turut bergerak pada jarak yang sama. Sebagai tambahan, semua bintang dalam alam semesta adalah berada dalam satu persamaan pergerakan yang telah ditentukan.

Lanjutan hal ini, iaitu alam semesta dipenuhi dengan lintasan dan orbit telah dimaktubkan di dalam Al-Qur'an;
وَٱلسَّمَآءِ ذَاتِ ٱلۡحُبُكِ
Demi langit yang mempunyai jalan-jalan. (Surah az-Dzariyat;7)

Terdapat lebih kurang 200 bilion galaksi dalam alam semesta, yang mengandungi hampir 200 billion bintang setiap satu. Kebanyakan dari bintang-bintang ini mempunyai planet-planet dan kebanyakan dari planet ini mempunyai satelit. Semua objek-objek langit ini bergerak menepati orbit-orbit yang telah dicongak. Untuk berapa juta tahun, semuanya 'berenang' melintasi orbit masing-masing dalam keseimbangan dan susunan yang sempurna bersama-sama dengan yang lain. Selanjutnya, bilangan komet yang banyak juga bergerak bersama dalam orbit-orbit yang telah ditentukan untuk mereka.

Orbit-orbit dalam alam semesta bukan sahaja dimiliki oleh jasad-jasad langit ini, tetapi juga dimiliki oleh galaksi-galaksi yang bergerak pada kelajuan yang besar dalam orbit-orbit yang telah ditetapkan. Sewaktu dalam pergerakan, tidak ada satupun objek langit ini yang memotong orbit atau bertembung dengan objek lain.

Suatu yang pasti, ketika Al-Qur'an di turunkan manusia tidak mempunyai sebarang teleskop seperti hari ini atau teknologi pemerhatian yang maju untuk memerhati jutaan kilometer ruang angkasa, dan juga tanpa pengetahuan fizik atau astronomi yang moden. Dengan hal ini, ianya suatu yang mustahil ketika itu untuk menentukan secara saintifik bahawa ruang langit 'dipenuhi dengan lintasan dan orbit' seperti yang dinyatakan dalam Al-Qur'an. Bagaimanapun, hal ini secara jelas diterangkan kepada manusia dalam Al-Qur'an yang diwahyukan ketika itu -kerana Al-Qur'an sebenarnya adalah kalam Tuhan.


Bentuk Sfera Bumi

خَلَقَ ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضَ بِٱلۡحَقِّ‌ۖ يُكَوِّرُ ٱلَّيۡلَ عَلَى ٱلنَّہَارِ وَيُكَوِّرُ ٱلنَّهَارَ عَلَى ٱلَّيۡلِ‌ۖ وَسَخَّرَ ٱلشَّمۡسَ وَٱلۡقَمَرَ‌ۖ ڪُلٌّ۬ يَجۡرِى لِأَجَلٍ۬ مُّسَمًّى‌ۗ أَلَا هُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡغَفَّـٰرُ
"Dia menciptakan langit dan bumi dengan kebenaran. Dia membungkuskan malam atas siang dan membungkuskan siang atas malam, dan Dia menjadikan matahari dan bulan beredar mengikut perintah-Nya, tiap-tiap satu dari keduanya beredar untuk satu masa yang telah di tetapkan, ingatlah! Dia yang Maha Kuasa lagi Maha Pengampun... (Surah Az-Zumar:5)

Dalam Al-Qur'an, perkataan yang digunakan untuk menerangkan alam semesta adalah sangat penting. Kalimah arab yang diertikan sebagai 'membalut' dalam ayat di atas adalah 'takwir', dan dalam bahasa inggeris, ia bermakud 'menjadikan sesuatu membalut sesuatu yang lain, dililit sebagai satu pakaian yang terhampar. Sebagai contoh, dalam kamus arab perkataan ini digunakan untuk perbuatan membalut sesuatu mengelilingi suatu yang lain seperti mana orang yang memakai serban.

Maklumat yang diertikan di dalam ayat mengenai siang dan malam yang membalut antara satu sama lain menyatakan maklumat yang tepat mengenai bentuk dunia. Fenomena ini hanya akan menjadi benar sekiranya bumi adalah berbentuk bulat. Ini bererti bahawa di dalam Al-Qur'an, yang diturunkan di abad ke 7, bentuk sfera bumi telah di disebutkan secara kiasan di dalamnya.

Ianya harus diingat, bagaimanapun, bahawa pemahaman mengenai astronomi ketika itu melihat dunia secara berbeza. Ketika itu difikirkan bahawa bumi berbentuk dataran rata dan semua pengiraan saintifk dan penjelasan berdasarkan kepada kepercayaan ini. Ayat Al-Qur'an bagaimanapun telah memuatkan maklumat yang baru diketahui beberapa abad sebelum ini, oleh kerana Al-Qur'an adalah kalam Tuhan, perkataan yang paling tepat digunakan di dalamnya ketika menerangkan mengenai alam semesta.

Thursday, April 15, 2010

Di Mana Silapnya Ummat Islam?

Suatu masa dahulu Ummat Islam di geruni, di takuti dan di hormati. Tapi kini di manakah kesemua kemuliaan dan ke tinggian itu? Ummat Islam di muliakan melalui Islam, sekiranya ummat Islam mencari kemuliaan bukan melalui Islam maka kita akan di hina. Ummat Islam telah meletakkan agama di belakang dan bukan agama sebagai jalan untuk mendapat kemuliaan maka kita di rundung ke hinaan.

BAHAGIAN 1:UMAT ISLAM YANG LUPA DIRI
Apabila kita meneropong umat kita dengan menggunakan teropong Allah s.w.t. yang terdapat dalam al-Quranul Karim, maka kita akan menemukan umat itu sebagai umat lain, bukan sebagai umat al-Quran yang dilukiskan oleh Allah s.w.t. sebagai umat terbaik, yang dijelaskan alasan terbaiknya kerana mereka menyeru orang berbuat makruf dan mencegah orang berlaku mungkar, serta beriman kepada Allah s.w.t.

Ia melihat makruf sebagai sesuatu yang mungkar dan melihat yang mungkar sesuatu yang makruf. Malah lebih dari itu, ia menyuruh orang berbuat mungkar dan mencegah mereka berbuat makruf, sehingga dilanda fitnah yang tidak ditemukan hujung pangkalnya, yang membuat intelektual muslim menjadi bingung.

Secara ringkas dapat dikatakan bahawa umat kita telah melupakan Allah, lalu Allah melupakan dia pada dirinya sendiri dan Maha Besar Allah dengan firman-Nya yang bermaksud:
“Janganlah kamu seperti orang-orang yang melupakan Allah, lalu Allah melupakan dia pada diri mereka sendiri” (al-Hasyr: ayat 19)


UMAT KITA DILIHAT DARI KEMAJUAN MATERIAL
Umat Islam selalu saja menjadi beban bagi umat-umat yang lain dalam memenuhi keperluan hidupnya, baik di bidang ekonomi, ketenteraan atau bidang-bidang lainnya. Ia belum pandai memproduksi keperluannya sendiri atau untuk memproduksi keperluan senjatanya untuk melindungi kedaulatan dirinya sendiri.


KEKUATAN AKAL KITA DI SIA-SIAKAN
Kekuatan akal kita sia-siakan, kerana kita bagaikan burung tiung hanya suka meniru. Kita tidak mahu berijtihad, tidak suka mencipta sendiri, tidak kreatif, senang menghafal daripada berfikir dan lebih senang mengutip fikiran orang lain, baik fikiran pendahulu kita ataupun masyarakat lain, kerana kita menganggap tidak perlu bersusah payah berfikir sendiri.

Suatu ketika dahulu Moshe Dayan (bekas Menteri Luar Israel), menyatakan secara terbuka cita-cita dan keinginan negaranya. Dia mendapat serangan dan kecaman dari bangsanya, kerana mereka khuatir pernyataanya itu dibaca oleh bangsa Arab (umat Islam) dan rencana jahatnya diketahui. Namun dengan tenang ia menjawab serangan kaumnya, katanya: “Tenanglah, pecayalah padaku, bangsa Arab (dan juga Melayu –Pent) tidak akan membacanya, kerana mereka tidak suka dan malas membaca”.

Inilah kenyataan pahit yang dimiliki suatu umat yang ayat pertama dalam kitab yang diturunkan kepadanya memerintahkan; “Iqra” (bacalah).

Ternyata mereka malas dan tidak suka membaca. Kalaupun membaca, mereka tidak pandai memahami, kalaupun memahami, mereka tidak bersungguh-sungguh dalam melaksanakannya.


KEKUATAN AMAL KITA DI SIA-SIAKAN
Amat menyedihkan, umat kita merupakan umat yang paling sedikit dalam berbakti dan amal perbuatannya, tetapi yang paling banyak bercakap dan berdebat. Kita banyak bicara dan sedikit kerja. Andaikata bekerja, kita hanya mengerjakan sesuatu yang kurang penting dan meninggalkan yang penting, malah kadang-kadang kita mengerjakan yang tidak bermanfaat sedikitpun.

Saya banyak mengikuti seminar Islam dan banyak keputusan yang sudah disepakati untuk dilaksanakan, tetapi sedikit sekali yang dilaksanakan dan sebahagian besar hanya di atas kertas.


KEKUATAN EKONOMI KITA DI SIA-SIAKAN

Kekuatan ekonomi kita disia-siakan, padahal kita hidup di bumi terbaik, yang paling baik daerahnya, paling subur tanahnya, paling kaya bahan galiannya, tetapi kita tidak memanfaatkan kekayaan itu.


KEKUATAN TENAGA KITA SIA-SIAKAN
Kekuatan tenaga manusia kita sia-siakan, meskipun kita selalu membangga diri dengan jumlah yang sangat ramai, tetapi apalah ertinya jika membuat hal masing-masing tanpa mempedulikan orang lain.

Seharusnya kita mengambil manfaat dari kekuatan tenaga manusia (manpower) kita, seperti yang dajarkan Jamaluddin al-Afghani kepada bangsa India dahulu. Katanya: “Jika kekuatan jutaan kamu itu berupa lalat yang meraung-raung di telinga Inggeris, tentu kamu akan berhasil memecahkan telinga mereka”.


KEKUATAN JIWA KITA SIA-SIAKAN
Kurikulum pelajaran kita tidak mampu menterjemahkan erti dan sifat “Rabbaniyah” ke dalam jiwa kita. Tepat sekali apa yang dikatakan penyair dan pemikir Islam, Muhammad Iqbal, ketika mengatakan tentang “sekolah-sekolah moden”, bahawa ia boleh membuka mata generasi muda untuk mempelajari berbagai hakikat dan pengetahuan, namun ia tidak mengajari matanya bagaimana menangis dan tidak mengajari hatinya supaya khusyuk.

Musibah paling tragis yang menimpa umat kita dewasa ini ialah menjadikan agama sebagai permainan dan senda gurau dan menjadikan permainan dan senda gurau sebagai agama!

Bagaimana tidak, kita telah tergila-gila menghiasi tembok masjid dengan ayat-ayat al-Quran, tetapi tidak menghias kehidupan kita dengan al-Quran. Kita membacakan al-Quran untuk orang-orang mati, tetapi tidak mengajarkannya kepada orang-orang hidup! Kita berusaha memiliki al-Quran, membawanya berkah, padahal berkah yang hakiki terletak dalam mengikuti perintah-Nya dan menjauhi larangan Nya.

Saya selalu mengatakan dan akan selalu mengatakan, bahawa kunci keperibadian umat ini dan kebanggaan kekuatannya terletak pada keimanan kepada Islam, yang telah menjadikannya sejak dahulu sebagai umat terbaik yang dikirimkan untuk seluruh manusia dan telah memberikan kemenangan atas golongan kuasa besar, meskipun kekuatan tenaga manusianya sedikit dan kelengkapan senjatanya sangat minima.

Kita memiliki aqidah terbesar, risalah paling lengkap, kita memiliki kitab Ilahi satu-satunya yang terjaga dari kerosakan dan pemindaan oleh tangan-tangan jahat, namun kita dilanda lupa diri, tidak menyedari sumber tenaga dan kekuatan yang ada pada diri kita sendiri.

Rahsianya terletak pada penyakit yang merosak batin kita, berupa rasa cinta dan keinginan pada hal-hal yang gemerlapan, lebih senang hidup bermegah-megah yang dinamakan oleh hadith itu sebagai “wahan” dan ditafsirkan sebagai “Cinta dunia dan takut mati!”

Maka tidak menghairankan, kalau umat yang terbilang seribu juta itu, terdiri dari umat yang bertutut di bawah si Yahudi yang hanya berjumlah tiga juta!.


TANGGUNGJAWAB PARA PENGUASA
Memang pertanggungjawaban terbesar atas kesalahan-kesalahan yang telah menjerumuskan kita, terletak di bahu para penguasa kita.

Tetapi yang jelas juga bahawa para penguasa itu pada umumnya sama saja dengan rakyatnya, kerana mereka merupakan lambang keadaan masyarakatnya.


TANGGUNGJAWAB PARA ULAMA
Memang ramai ulama’ yang tidak menunaikan tugasnya dengan baik dalam menyampaikan agama Allah dan ada pula di antara mereka yang membonceng kenderaan pemerintah dan menjadikan ilmu ( agama ) sebagai hamba politik dan menjadikan dirinya seperti mesin pengeluar ‘fatwa’ , sesuai pesanan orang atasannya.

Sebenarnya ulama’ dewasa ini bukan lagi sebagai pemain tunggal seperti halnya pada zaman dahulu. Kerana pemilik media cetak, elektronik dan pusat-pusat penerangan nampaknya lebih kuat pengaruhnya dalam masyarakat, daripada ulama’ yang berpidato dari atas mimbar. Meskipun mereka masih memiliki pengaruh kuat yang tidak dimiliki oleh yang lain.

Salah seorang bertanya pada seorang penguasa tentang kekuatan al-Imam al-Hasan al-Bashri dan ketegasannya yang tidak tergoyah. Maka Gabenor negeri itu menjawab secara terus terang: “Kami perlukan agamanya, tetapi dia tidak perlukan dunia kami”.


TANGGUNGJAWAB MASYARAKAT
Saya masih ingat, pada suatu hari seorang pendengar menegur gurunya selesai memberikan ceramahnya, katanya: “Saya telah mendengar dan mengikuti ceramah yang bapa berikan selama tiga puluh tahun, lalu apa yang telah bapa lakukan?”

Jawapan guru itu membuat muridnya terdiam, katanya, “Kalau telah tiga puluh tahun mendengarkan ceramahku, lalu sudah sejauh mana kamu melakukannya?”


BAHAGIAN 2: PERGERAKAN ISLAM
Pergerakan Islam ialah semua jemaah kerja yang berusaha untuk memperbaharui agama, dalam erti hendak melaksanakan hukum syariat dan menghidupkannya dalam peribadi umat, untuk mengembalikan kejayaannya yang gemilang dalam memimpin masyarakat dan melaksanakannya dalam berbagai lapangan hidup, baik di segi aqidah, ibadah, akhlak, muamalat ( jual-beli), dalam fikiran, perasaan, undang-undang, pengarahan masyarakat, dalam bidang eksekutif dan yudikatif.

Tetapi nampaknya, pergerakan Islam ini tidak berhasil merealisasikan apa yang dicita-citakan , sebagaiamana harapan umat dan sebagaimana yang selalu dilanung-laungkan oleh para pimpinannya.


TIADA PENGHISABAN DIRI
Keluhan pertama yang sangat dirasakan oleh para pakar dalam pergerakan Islam, bahawa usaha menghisab diri adalah sangat lemah, atau boleh dikatakan pada umumnya tidak ada.

Ulama’ zaman dahulu berkata: “Orang mukmin sangat keras memperhitungkan dirinya, lebih dari seorang penguasa yang diktator dan dari seorang sekutu yang kikir.”


PERPECAHAN DAN PERSELISIHAN
Salah satu penyakit pergerakan Islam moden adalah adanya perpecahan parah yang kita saksikan antara bahagian-bahagiannya yang beragam. Masing-masing merasa kebenaran itu hanya ada dalam jamaahnya saja, sedang di luar jamaahnya hanyalah kesesatan. Yang dapat masuk syurga dan selamat dari api neraka hanya dimonopoli oleh anggota jamaahnya, hanya dia saja yang merupakan “kelompok yang selamat”, selain dari itu termasuk kelompok yang sesat.

Alangkah baiknya jika masing-masing bebaik sangka terhadap yang lain, saling bertimbang rasa (toleransi) meskipun dalam keadaan yang berbeza, saling tolong menolong dan tegur menegur dalam berbuat makruf dan berdiri dalam satu barisan menghadapi masalah-masalah yang besar, iaitu kewujudan Islam dan penentuan hari depannya dan bersatu padu dalam menghadapi serangan musuh, baik dalam bentuk Yahudisme, Salibisme, mahupun berupa Komunisme, Kapitalisme dan Sekukarisme.

Pergerakan Islam tidak boleh mengabaikan individu-individu yang kuat bekerja di lapangan dakwah, meskipun mereka bekerja secara sendirian, hanya mempunyai pengaruh dalam lingkungannya dan pada murid-muridnya dan mereka masing-masing mempunyai sekolah dan pengikut. Sudah tentu ramai di antara mereka yang jujur dan ikhlas, yang mampu menggerakkan pendapat umum dan mengarahkannya, jika mereka mahu dan di dukung oleh pengarahan yang tepat.


KURANGNYA PENYELIDIKAN DAN PROGRAM
Kita harus sentiasa mengadakan penyelidikan tentang perkembangan keadaan umat Islam, keadaan pergerakan Islam dan keadaan serta kekuatan pihak yang memusuhi Islam. Semua keterangan dan maklumat itu, dianalisa secara ilmiah dan bertanggungjawab, sehingga diperoleh hasil yang diperlukan untuk digunakan sebagai acuan dalam melaksanakan langkah selanjutnya.

Adapun yang paling utama untuk diprogram dan direncanakan ialah memupuk bakat para anggotanya sejak awal lagi, membimbing dan meningkatkannya dalam berbagai bidang kehidupan seperti dalam sudut ilmu, syariat, politik, ekonomi, sosial, pendidikan, penerangan, pemerintahan, statistik dan sebagainya untuk mengisi kekosongan dan memenuhi keperluan masyarakat. Dan perlu juga mengetahui dan mempelajari apa yang sedang dikejar oleh masyarakat beradab dan moden, seperti dalam dunia komputer dan senjata nuklear, alam luar angkasa dan teknologi canggih lainnya. Sekarang ini terjadi hal sebaliknya, mereka (golongan di luar Islam) sibuk dalam dunia yang setiap hari menambah hal-hal yang baru seolah-olah suatu lompatan dalam ilmu dan teknologi. Sementara kaum muslimin masih bertikai sama sendiri dan hidup dalam alam mimpi dan senda gurau, sedang umat lain bekerja keras. Kaum muslimin lebih banyak berbicara yang tidak mempunyai manfaat sedikitpun bagi dirinya dan umatnya.

Kita bekerja tanpa rencana dan program, sedang lawan-lawan kita tidak demikian, akhirnya hasil perjuangan kita jatuh ke tangan mereka, dalam keadaan kita tidak menyedarinya.